12 Zulhijjah- Ketika bersolat isya’ di Surau Al-Islah Kg. Lobou baru-baru ini saya berkesempatan untuk bertanyakan perihal ibadat korban yang telah dilakukan di kampung tersebut. Menurut saudara Miasin (pengerusi surau), selain daripada seekor lembu korban yang sedia ada dikampung tersebut, mereka juga menerima daging korban dari Masjid Telekom (masjid bersebelahan dgn kampung Lobou). Juga semasa saya ingin pulang dari surau tersebut, saudara Miasin menyatakan kepada saya, yang mereka hendak ke kampung sebelah untuk mengambil daging korban seberat 100kg bagi diagihkan kepada penduduk muslim kg. Lobou yang kebanyakannya muaalaf.
Sepengetahuan saya kampung Lobou hanya ada sekitar 25 keluarga muslim. Persoalan yang timbul dalam benak hati saya, berapa kilogram kah daging korban yang diperolehi bagi setiap keluarga muslim pada korban kali ini? Perkiraan saya, tidak kurang dari 5 kilogram untuk satu keluarga. Keadaan tersebut membuatkan saya mula berbicara lebih lanjut dengan pengerusi surau tersebut. Soalan pertama saya, bagaimana jiran bukan Islam, adakah mereka juga mendapat sedikit dari nikmat ibadah korban? Beliau menjawab tidak.
Maka saya memberi pandangan kepada beliau, kenapa tidak tahun hadapan kita mencadangkan untuk memberikan sedikit rezki dari daging korban kepada jiran-jiran yang bukan Islam di kampung tersebut. Beliau sangat bersetuju. Saya berpegang pada pandangan harus memberi daging korban sunat kepada masyarakat bukan Islam (untuk perbahasan mungkin pembaca boleh cari disini, disini dan disini). Saya mencadangkan kepada beliau sekiranya pada tahun hadapan, keadaan yang sama berlaku (daging korban yang agak banyak), kita perlu agihkan sedikit kepada jiran-jiran bukan Islam. Pertamanya kita utamakan masyarakat bukan Islam yang telah jinak hatinya dengan Islam. Kedua kita utamakan mereka yang fakir miskin dikalangan penduduk kampung.
Mungkin daging yang kita akan berikan tidak banyak (perkiraan saya cukup ½ kilo), namun ’message’ yang ingin kita sampaikan itu yang lebih penting. Moga-moga dengan agihan yang disandarkan atas keihlasan membantu fakir, miskin dan mereka yang jinak hatinya dengan Islam, mampu membuka ruang dihati mereka untuk menerima Islam sebagai agama mereka suatu hari nanti, InsyaAllah.
Ibadah Korban Yayasan Amal Malaysia di Sabah
Pada tahun ini ini Yayasan Amal Malaysia cawangan Sabah telah melaksanakan Ibadah korban di beberapa kawasan di Sabah. Ianya adalah hasil dari sumbangan orang perseorangan. Antara tempat yang dilaksanakan ibadah korban ialah:-
- Kg. Kimanis, Papar.
- Kg. Kebagu, Sepanggar.
- Kg. Lapasan, Tuaran dan
- Kg. Payas-payas, Kota Belud.
Selain dari itu Yayasan Amal Malaysia cawangan Pahang juga turut membantu di dalam misi mereka ’Jelajah Korban’ di Sabah. Antara tempat yang menjadi tumpuan mereka adalah:-
- Pitas dan
- Ranau.
Semoga usaha yang digembelingkan ini akan mampu membawa pengertian 'Ibadah Korban: Antara tersurat dan tersirat'.
Gambar sekitar program ibadah korban Yayasan Amal Malaysia.
Naib Pengerusi 1 Yayasan Amal Malaysia cawangan Sabah (Tn Hj. Nahar Matamin) , turun padang menyembelih korban di Kampung Kebagu, Sepanggar.
'Jelajah Korban' Yayasan Amal Malaysia cawangan Pahang bersama penduduk kampung Tompios, Ranau.
No comments:
Post a Comment