Inilah masalah besar Negeri Sabah apabila tangan-tangan yang memegang amanah rakyat merompak hasil jerih pedih rakyat membating tulang. Tak kiralah ianya dari UMNO, PBS, SAPP, MCA, atau mana-mana saja parti pemerintah di bawah payung BN, sekiranya tiada lagi sifat amanah maka beginilah jadinya. Entah sampai bila rakyat Sabah akan dibuai dengan janji-janji..
Sumber:– BERNAMA
Atasi Kesesakan Lalu Lintas Dan Banjir Keutamaan Mayor Baru Kota Kinabalu
KOTA KINABALU, 22 Mac (Bernama) — Datuk Abidin Madingkir yang dilantik sebagai Mayor Kota Kinabalu yang ketiga pada 2 Feb lepas, meletakkan masalah kesesakan lalu lintas dan banjir kilat di bandar raya ini sebagai antara agenda utama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk ditangani.
“Mencari jalan penyelesaian kepada dua perkara ini yang sering menjadi topik hangat di bandar raya ini bukanlah mudah untuk dicapai dalam sekelip mata.
“Tetapi saya percaya kita harus mempunyai inisiatif untuk memulakan sesuatu dan mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang,” katanya pada majlis makan tengah hari DBKK dengan media di sini pada Selasa.
Beliau juga akan meneruskan agenda 3K DBKK iaitu kebersihan, keindahan dan keselamatan yang dimulakan mayor terdahulu Datuk Iliyas Ibrahim, terutama dalam memperhebatkan Kempen Anti Kutu Sampah dan program pengurangan penggunaan beg plastik.
Abidin juga berkata jumlah anggota dan kakitangan DBKK yang seramai kira-kira 1,800 orang berbanding jumlah penduduk bandar raya yang dianggarkan lebih 500,000 orang adalah terlalu kecil nisbahnya dan sukar untuk memenuhi kehendak setiap ahli masyarakat dalam masa yang diharapkan.
Bagaimanapun, beliau berkata senario itu tidak akan melemahkan semangat DBKK untuk mencuba memenuhi kehendak dan permintaan serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat bandar raya Kota Kinabalu.
“Masyarakat bandar raya Kota Kinabalu amat penting bagi kami dan kami mendokong gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya.
Abidin berkata DBKK juga amat memerlukan media sebagai rakan kongsi dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar dan program DBKK kepada masyarakat.
“Menganjurkan aktiviti kemasyarakatan di peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa adalah antara peranan kami untuk memastikan bandar raya ini tetap ceria, di samping menyokong usaha kerajaan mempromosikan Kota Kinabalu sebagai pusat peranginan terkenal di rantau ini,” katanya.
.....................................................................
Sumber: http://passepanggar.blogspot.com/
Banjir kilat disekitar Likas dan Inanam
Kota Kinabalu: Kejadian banjir kilat yang sering berlaku menyebabkan pengguna kenderaan berasa bimbang apabila hujan lebat mulai turun di sekitar Likas dan Inanam. Kejadian banjir kilat ini bukan sahaja mengganggu lalu lintas yang mengakibatkan kesesakan, malah ada juga antara kenderaan yang mengalami kerosakan. Ini menyebabkan para pengguna kenderaan mengalami kerugian akibat dari kejadian tersebut.DPP Sepanggar berasa terpanggil untuk mengutarakan permasalahan ini. Malah ketika tinjauan dibuat bersama anggota unit amal, jelas kelihatan masalah tersebut benar-benar kritikal. Selain daripada kesesakan lalulintas, terdapat juga deretan kedai yang terlibat di dalam kejadian banjir kilat ini. Ini menyebabkan mereka terpaksa menghentikan seketika perkhidmatan dan seterusnya akan menyebabkan kerugian. Kejadian sebegini bukan baru berlaku, malah telah lama dialami oleh pengguna. Namun begitu, ianya seolah-olah tidak ada pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan pantas dalam menangani permasalahan ini.
Kesulitan yang dialami oleh rakyat ini sepatutnya mendapat perhatian serius dari Ahli Dewan Undangan Negeri serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mengambil langkah yang perlu. Namun begitu, sikap lepas tangan untuk menyelesaikannya sangat dikesali. Sehubungan dengan itu DPP Sepangar ingin mengingatkan pihak-pihak tersebut agar segera menyelesaikan masalah rakyat, atau rakyat akan menentukanya pada pilihanraya akan datang.
No comments:
Post a Comment