Selepas usrah pemuda Sepanggar semalam, saya sempat berbicara secara ringkas dengan teman-teman tentang niat sebenar kemasukan ulama muda ke dalam UMNO. Sengaja isu tersebut saya bangkitkan kerana saya ingin melihat reaksi teman-teman terhadap isu tersebut.
Sehubungan dengan itu, pandangan ini saya lontarkan sebagai satu peringatan buat teman-teman yang mungkin agak goyah pendirian apabila berita kemasukan ulama muda ke dalam UMNO baru-baru ini.
Ingatlah, sesungguhnya musuh-musuh Allah tidak akan pernah berasa letih untuk memecah belahkan kesatuan pejuang-pejuang. Perpecahan inilah yang sangat diinginkan oleh musuh-musuh Islam termasuk golongan munafik. Rasulullah s.w.t pernah mengingatkan kita bahawa umat Islam akan berpecah kepada 73 puak. Sabda Rasulullah:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيَأْتِيَنَّ عَلَى أُمَّتِي مَا أَتَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ حَذْوَ النَّعْلِ بِالنَّعْلِ حَتَّى إِنْ كَانَ مِنْهُمْ مَنْ أَتَى أُمَّهُ عَلَانِيَةً لَكَانَ فِي أُمَّتِي مَنْ يَصْنَعُ ذَلِكَ وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً قَالُوا وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي. -الترمذيوعند أبي داود زيادة: وَإِنَّهُ سَيَخْرُجُ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ تَجَارَى بِهِمْ تِلْكَ الْأَهْوَاءُ كَمَا يَتَجَارَى الْكَلْبُ بِصَاحِبِهِ لَا يَبْقَى مِنْهُ عِرْقٌ وَلَا مَفْصِلٌ إِلَّا دَخَلَهُ .
Dari Abdullah bin ‘Amr r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Demi sesungguhnya akan berlaku kepada umatku perkara-perkara yang betul-betul sama seperti apa yang telah berlaku kepada Bani Israil, sehingga jika ada di antara mereka orang yang berzina dengan ibunya dengan berterang-terang, nescaya akan ada dalam kalangan umatku orang yang melakukan perkara yang demikian; dan sesungguhnya kaum Bani Israil telah berpecah belah kepada tujuh puluh dua puak dan umatku pula akan berpecah belah kepada tujuh puluh tiga puak, semuanya (akan dihumbankan) dalam neraka kecuali satu puak sahaja”. Sahabat-sahabat Baginda bertanya: “Siapa dia puak yang satu itu ya Rasulullah? ” Baginda menjawab: “Puak itu ialah puak yang tetap di atas jalanku dan jalan sahabat-sahabatku.” (Tirmizi)
Hadith di atas mengingatkan kita bahawa sehebat mana pun umat Islam di akhir zaman ini, kita pasti akan berdepan dengan 73 golongan ini. Maka apakah sikap kita dikala kita berada di zaman yang telah diingatkan oleh Rasulullah ini. Sebelum meneruskan bicara, saya ingin mengajak teman-teman menghayati hadith ini.Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti sawadul a’zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya, sesiapa yang terasing, maka dia akan terasing dalam neraka” (Hadits riwayat Ibn Majah)
Persoalan ini mengimbau kembali kenangan saya semasa mengaji di pondok Paku (salah sebuah pondok di daerah Besut). Seorang anak murid bertanyakan kepada Baba (gelaran bagi tuan guru). "Baba, bagaimana kita hendak memilih siapakah yang benar dikala umat Islam keliru". Satu jawapan ringkas dari Baba, "Lihatlah dimana para alim ulama berkumpul".
Dewan Syura Ulama PAS, Majlis tertinggi Gerakan Islam
Melihat kepada situasi yang berlaku kini dan akan sentiasa akan berulang, seolah-olah sengaja Allah s.w.t mengatur agar sentiasa ada golongan yang menyimpang dari kepimpinan Islam. Sebagai ahli gerakan Islam (ahli PAS) seharusnya para da'e merujuk isu ini kepada Majlis Tertinggi Kepimpinan Islam. Isu ini tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut individu atau keluar dari skop kepimpinan Jamaah Islam.
Mungkin hujah yang mengatakan bahawa kemasukan Ulama muda ke dalam UMNO sebagai satu usaha dakwah terhadap UMNO boleh diterima pakai. Tetapi suka untuk saya bertanya, tidak cukupkah Institusi kerajaan seperti JAKIM, Jabatan Mufti, Majlis Agama negeri-negeri serta NGO-NGO yang ada sekarang sebagai element dakwah untuk UMNO khususnya kerajaan? Tidak cukup lagikah menteri-menteri yang bertaraf ulama@ustaz yang berada di dalam kabinet untuk membimbing UMNO? Tidak cukup lagikah ustaz-ustaz yang ada di dalam kepimpinan UMNO untuk membimbing? Suka sekali lagi saya bertanya, tidak cukup kah?
Saya tidak menghalang mereka (ulama muda) menyertai UMNO. Malah sekiranya mereka ingin menyertai MIC dan MCA pun saya tak menghalang, dengan rendah hati saya kata 'silakan'. Namun nasihat saya sama seperti nasihat Almarhum Ust Fadhil Noor kepada sahabat beliau Anwar Ibrahim, "Sekiranya nta ikhlas menyertai UMNO, pasti nta akan tersingkir dari UMNO".
Berdoalah ke arah perubahan UMNO.
Ya, kita sentiasa mendoakan untuk mereka (UMNO). Doa kita:
"Ya Allah, engkau tunjukkanlah kebenaran itu adalah kebenaran dan kezaliman itu adalah kezaliman. Ya, Allah sekiranya UMNO itu membimbing kami ke arah jalan Mu, engkau peliharalah ia, tetapi sekiranya UMNO itu membawa kami ke arah kemurkaan Mu, maka Engkau hancurkanlah mereka serta kuncu-kuncunya dengan sehancur-hancurnya. Agar kepimpinan yang kami nanti-nantikan di ganti dengan orang yang mendapat cahaya kebenaran dariMu. Ya, Allah, terimah doa kami ini. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui dan Maha Mendengar"
Amin ya Rabbal 'alamin..
Nota Kaki:
Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyatakan bahawa:
“UMNO adalah parti politik yang progresif yang berjuang menurut lunas-lunas demokrasi dengan tujuan menghasilkan cita-cita kebangsaan".
Mari kita lihat apa kata Rasulullah s.a.w:
"Bukan dari golongan aku, seseorang yang memperjuangkan asabiyah atau mati dalam perjuangan asabiyah."
No comments:
Post a Comment