Catatan santai oleh : Mohd Jubirin (melalui emel) & foto oleh Abu Nuha.
Selesai bersarapan pagi 31 Disember 2011 di Restoran Sri Keningau Putatan, Dato’ Seri Mohd Nizar Jamaluddin Ahli Parlimen Bukit Gantang yang juga AJK PAS Pusat singgah di Tamu Pekan Putatan. Beliau ditemani oleh Encik Suhaimi Embong dari Terengganu yang juga Pengarah Jabatan IT PAS Pusat. Tamu ini beroperasi bermula petang jumaat sehingga tengahari ahad. Di sini beliau bertemu dengan masyarakat yang berurusan sama ada penjual, pembeli dan sebagainya. Kami perhatikan, sejak mula beliau turun, ramai yang melihatnya dari dekat dan jauh, mungkin sebahagian mengenalinya atau sebahagian lagi ‘macam kenal’.
Rupanya bekas Menteri Besar Perak.
Kira-kira 45 minit di sini, ramai juga yang disapa oleh beliau atau beliau disapa oleh orang lain. Tidak ketinggalan beberapa orang yang berasal dari Perak yang bekerja di sini dan memberi sokongan terhadap beliau. Ada seorang wanita tionghua dari Putatan yang lama berbual dan menyatakan masalah yang beliau alami. Kami perhatikan YB Nizar memberi tumpuan penuh kepada aduan wanita berkenaan. Beberapa jemaah masjid (yang kami dimaklumkan dari) sekitar Petagas dan Putatan juga sempat beramah mesra dengan beliau dan mereka merasa teruja dengan kehadiran beliau di sini.
Dari Putatan menuju ke Pekan Tanjung Aru. Di sini rombongan singgah di beberapa restoran cina dan melayu. Kami melihat beliau begitu agresif bertemu rakyat dan sebahagian besar yang ditemui menyambut baik kedatangan beliau. Mungkin sikap masyarakat yang peramah dan tidak berkira dengan sesiapa yang menyapa mereka. Atau juga sebahagiannya terkejut dan teruja dengan kehadiran seorang tokoh yang tiba-tiba saja ada di hadapan mereka. Kepada masyarakat tionghua, YB Mohd Nizar bertutur dalam 3 bahasa, melayu, inggeris dan cina. Tidak kurang juga mereka yang berterus terang menyokong Pakatan Rakyat.
Dari Pekan Tanjung Aru bergerak ke Pasar Besar Kota Kinabalu. Tidak dapat penganjur membawa ke seluruh pasar yang memang besar. Hanya di bahagian hadapan sahaja yang sempat diziarahi dan beliau dapat bertemu dan mendengar beberapa permasalahan rakyat terutama hal ekonomi yang membelenggu rakyat serta isu-isu politik Sabah. (Kami pula berdiri sedikit jauh untuk memberi peluang mereka berbual). Kebetulan kami bertemu dengan beberapa penjual majalah dan suratkhabar, ada harakah dijual di sana yang di muka hadapannya memaparkan foto Presiden PAS dan YB Nizar sedang makan-makan santai dan bersila. Terkejut juga penjual tu yang melihat orang dalam foto itu ada di hadapannya.
Dari Pasar Besar ke Pasar Tani Asia City pula. Beliau beramah mesra dengan beberapa peniaga dan pelanggan termasuk seorang peniaga yang berasal dari Perak juga. Ada peniaga durian, penjual arnab, penjual ubat-ubatan tradisional, semuanya disapa dan ditegur oleh beliau. Sebelum berehat minum di restoran berhampiran, YB Nizar mengambil kesempatan untuk membuat pemeriksaan darah yang disediakan percuma oleh seorang peniaga di sana. Di restoran berhampiran, beliau duduk bersama tuan kedai dan bercerita dengan beberapa orang yang lain.
Waktu zuhur kami semua ke Masjid Negeri Sabah. Rombongan tiba tepat ketika azan dilaungkan. YB Nizar dan berada di saf pertama sebelah bilal bertugas. Kami saksikan ramai jemaah yang bersalaman dengannya termasuk beberapa orang ketua jabatan (kami dimaklumkan) yang kebetulan solat zuhur bersama-sama juga. Beliau beramah mesra dengan tuan imam dan jemaah lain. Juga ada seorang yang kelihatan sangat teruja kerana sebelum ini katanya hanya melihat di surat khabar atau internet saja. Ada seorang pelancong muslim dari Australia yang turut bersama-sama bercerita dengan beliau. Rupanya pelancong berkenaan boleh bertutur dalam bahasa melayu.
Program terakhir yang kami sempat bersama-sama sepanjang setengah hari itu ialah jamuan tengahari di Restoran Lengkuas Sembulan. Sekitar setengah jam di sana, dan sebelum berangkat beliau sempat menemui taukeh restoran dan mendoakan agar restorannya maju dan berkembang. Program berikutnya YB Nizar hari itu ialah bersama kawan-kawan di Sepanggar dan seterusnya ke Kota Belud pada sebelah malam. Tugasan kami selaku kumpulan media Putatan berakhir di sini.
Keseluruhannya, kami melihat atas peribadi YB Nizar sendiri amat dikenali ramai, dan kami mempelajari banyak perkara contohnya dalam mendekati masyarakat seperti apa yang dikenali sebagai dakwah bilhal, seperti sentuhan, sapaan, senyuman dan ucapan-ucapan yang bersesuaian kepada setiap mereka yang ditemui. Ini kerana perkara-perkara asas dan mudah ini cukup memberi kesan walaupun tidak mesti mengungkapkan isu-isu politik pada semua keadaan. - (Penulis – Mohd Jubirin)
No comments:
Post a Comment