HOMESTEY DI KOTA KINABALU, TAIPING & BUKIT MERAH (SERENDAH RM99*) HUBUNGI: 013-4898247 (SAIFUDDIN)

HOMESTEY DI KOTA KINABALU, TAIPING & BUKIT MERAH (SERENDAH RM99*) HUBUNGI: 013-4898247 (SAIFUDDIN)


.

Saturday, December 20, 2008

Perlembagaan

“Bahawa dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada ALLAH dan kebaktian sesama manusia, yang dijadikan bagi “Menegakkan Ma’ruf dan Mencegah Mungkar” dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan “PARTI ISLAM SE-MALAYSIA”

Perlembagaan atau di dalam bahasa Inggeris “Constitution” adalah sistem yang kebiasaannya dicatatkan sebagai undang-undang yang meletakkan syarat dan prinsip bagaimana sesebuah organisasi atau badan politik ditadbir. Bagi sesebuah negara, ia merujuk kepada Perlembagaan Negara yang menghuraikan prinsip asas politik dan memberikan kerajaan kuasa dan tanggungjawabnya.

Perlembagaan juga wujud di dalam sesuatu pertubuhan samada pertubuhan politik, kumpulan sekerja mahupun syarikat dan badan sukarela. Kebiasaannya, kesemua perlembagaan menyatakan secara khusus kuasa yang berada pada sesebuah pertubuhan dan ruang lingkup kekuasaannya. Istilah “ultra vires” digunakan apabila kegiatan sesebuah persatuan itu melampaui batas yang telah ditetapkan oleh perlembagaannya.

Sebagai contoh, persatuan pelajar tidak boleh melibatkan diri dengan kegiatan yang tidak membabitkan urusan pelajar. Sekiranya hal ini berlaku, ianya akan dianggap “ultra vires”.
Di dalam sejarah Islam, Perlembagaan Madinah (Medina Constitution) merupakan perlembagaan terawal yang dimeterai oleh Rasulullah SAW pada tahun 622 Hijrah apabila baginda tiba ke sana ketika berhijrah keluar dari Mekah.

Di dalam sejarah politik Malaysia, terdapat 3 perlembagaan pertubuhan yang penting untuk dikaji oleh pembaca iaitu Perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO dan Perlembagaan Parti Islam SeMalaysia atau PAS. Ketiga-tiga perlembagaan ini mempunyai kaitan secara langsung dengan pengamalan Islam di dalam konteks kenegaraan.

PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Perlembagaan Malaysia (Constitution Of Malaysia) berasal daripada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan pada 27hb Ogos 1957. Perlembagaan ini dibuat oleh Suruhanjaya Reid di England. Oleh kerana itu, Malaysia turut menerimapakai konsep kenegaraan yang di amalkan di Westminster termasuklah dasar Sekular (Secularism).

Dasar ini sebenarnya telah mula diamalkan di Tanah Melayu seawal tahun 1874 melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangan oleh Sultan Abdullah (Sultan Perak) dengan Residen Inggeris bagi Negeri-Negeri Selat, Andrew Clerk. Kandungan penting di dalam perjanjian itu ialah “Residen Inggeris akan menasihati Sultan (dan Sultan mesti megikuti) dalam semua hal mengenai pentadbiran negeri kecuali mengenai Agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Dasar Sekular dapat dilihat di dalam Perlembagaan Malaysia Fasal 3.1. dan 4.1.

Fasal 3.1. menyebutkan “Agama Islam adalah agama resmi Persekutuan”.

Islam yang dimaksudkan di sini merujuk kepada upacara seperti soal keraian, nikah kahwin, cerai, rujuk, pembahagian harta dan seumpamanya.

Fasal 4.1. pula menyebutkan “Perlembagaan ini adalah undang-undang tertinggi bagi persekutuan dan mana-mana undang-undang yang dibuat selepas daripada hari Merdeka, yang bertentangan dengan perlembagaan ini, maka setakat mana pertentangannya di situlah terbatalnya undang-undang itu.”

Fasal 4.1. secara jelas menafikan undang-undang lain termasuklah undang-undang yang berdasarkan al Quran dan Hadis. Sebagai contohnya, undang-undang jenayah. Antara undang-undang jenayah yang disebutkan di dalam al Quran adalah berkenaan dengan jenayah mencuri yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman memotong tangan si pencuri. Walaubagaimanapun, undang-undang ini tidak dimasukkan ke dalam perlembagaan. Oleh itu ia secara langsung terbatal. Implikasi dari hal ini memungkinkan berlakunya percanggahan aqidah kerana sebagai seorang Muslim yang komited, seseorang itu wajib meletakkan undang-undang berdasarkan al Quran dan hadis mengatasi undang-undang yang lain.

Tun Mohd Suffian, tokoh hakim negara, pernah menyebutkan,

“Saya suka menjelaskan bahawa negara ini bukanlah negara Islam sebagaimana yang difahamkan secara umum. Kita cuma memperuntukkan Islam sebagai agama resmi negara”.

Pemimpin UMNO meneguhkan kenyataan ini melalui kenyataan yang tersiar di dalam akhbar Utusan Melayu (yang dikuasai oleh UMNO) pada 10hb Oktober 1980 yang berbunyi,
“Pemimpin UMNO hendaklah memberitahu rakyat dengan berani dan tegas bahawa perjuangan UMNO adalah perjuangan nasionalisme yang progresif sifatnya. UMNO mesti berani berkata bahawa UMNO tidak bercita-cita untuk menukar perlembagaan dengan undang-undang Islam.”

Seterusnya, ruangan “Rencana Pengarang” akhbar tersebut melanjutkan hal ini dalam tulisannya bertarikh 30hb Oktober 1980 yang berbunyi,

“Sebenarnya Kerajaan adalah sebuah kerajaan kebangsaan yang sama sekali tidak berjanji dengan rakyat negeri ini untuk menjalankan Hukum Islam yang berdasarkan al Quran dan al Hadis”

Jelas di sini bahawa pakar perundangan dan parti yang memerintah Malaysia mentakrifkan Islam sebagai satu upacara rasmi kerajaan malah tidak mempunyai niat untuk meminda peruntukan perlembagaan terhadap undang-undang Islam yang lain seperti yang termaktub di dalam al Quran dan Hadis.

PERLEMBAGAAN UMNO

UMNO ditubuhkan pada 11hb Mei 1946 di Johor Bahru. Ia ditubuhkan semata-mata untuk menentang Malayan Union yang mengancam kedudukan dan kuasa orang-orang Melayu serta Raja-raja Melayu.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyatakan bahawa

“UMNO adalah parti politik yang progresif yang berjuang menurut lunas-lunas demokrasi dengan tujuan menghasilkan cita-cita kebangsaan.

Mendukung Perlembagaan Malaysia, perlembagaan negeri-negeri dan mempertahankan prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya, terutama mengenai agama rasmi, kedaulatan Raja-raja Melayu, Bahasa Kebangsaan, Hak-hak asasi dan orang-orang Melayu dan Bumiputera.

Berikhtiar bagi mengawal, memelihara dan mengamalkan pemerintahan demokrasi”.

Melalui perlembagaan pertubuhannya, UMNO mengetengahkan konsep Nasionalisma (Nationalism) yang meletakkan perjuangan bangsa Melayu mengatasi perjuangan yang lain di samping mempertahankan konsep Sekularisma yang tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia. UMNO juga mengambil pendekatan pragmatik (pragmatism) di mana konsep-konsep semasa seperti Islamisasi dan Islam Hadhari diperkenalkan kepada masyarakat oleh pemimpinnya.

PERLEMBAGAAN PAS

Di peringkat awalnya, PAS ditubuhkan sebagai Persatuan Islam SeTanah Melayu pada 23hb Ogos 1951. Ia dianggap sebagai lanjutan daripada pergerakan Hizbul Muslimin yang diharamkan British pada tahun 1948. Kewujudan PAS merupakan langkah pemimpin Islam di Tanah Melayu yang mendapati UMNO, setelah ditubuhkan pada tahun 1946, tidak berhasrat untuk membawa Undang-undang Islam ke dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

PAS berpegang dengan Surah Al Maidah ayat ke 54 yang menyatakan sekiranya sesuatu kaum itu berpaling dari agama, ALLAH akan mendatangkan kaum yang lain untuk memperjuangkan agamaNYA. Dengan ini PAS menganggap pendaftarannya sebagai sebuah pertubuhan politik pada tahun 1955 sebagai satu usaha Tajdid, iaitulah usaha pembaharuan untuk menyingkirkan fahaman Sekularisma dan Nasionalisma.

Fasal 2.1 Perlembagaan PAS menyebutkan,

“Dasar PAS ialah Islam”

Manakala Fasal 2.2 menyebutkan,

“Tujuan PAS adalah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini masyarakat dan pemerintahan Islam yang terlaksananya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukum yang menuju keredhaan ALLAH SWT”

Seterusnya Fasal 3 menyebutkan,

“Adapun hukum tertinggi di dalam perjuangan PAS ialah Kitabullah, Sunnah Rasul, Ijma’ dan Qias, yang terang dan nyata dengan tertakluk pada hukum tertinggi itu kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Majlis Tertinggi Syura Ulama"

Sebagai membuktikan komitmennya terhadap cita-cita Negara Islam, PAS telah menerbitkan dokumen bertajuk Dokumen Negara Islam ( The Islamic State Document )

PERBAHASAN

Prof Said Hawwa menulis di dalam bukunya “20 perkara yang membatalkan aqidah” meliputi perkara berikut:

Perkara 4 - Menggubal undang-undang mengikut kemahuan manusia, bukan mengikut ketentuan ALLAH, yang bererti bahawa perbuatan itu melawan ALLAH, kerana ALLAH sajalah yang mempunyai hak menentukan undang-undang bagi kehidupan manusia.

Perkara 6 - Menjalankan hukum yang lain daripada hukum ALLAH SWT atau tidak merujuk kepada hukum ALLAH SWT dalam sesuatu perkara.

Perkara 9 - Menghina sesuatu Kitab atau sunnah, atau menghina orang alim (ulama) yang menegakkannya, atau mempersenda-senakan hukum-hukum daripada ALLAH atau syiar-syiar daripada syiar Islam.

Perkara 11 - Tidak beriman dengan sumber-sumber hukum daripada al Kitab dan as Sunnah.

KESIMPULAN

Kepentingan Perlembagaan kepada sesebuah entiti ibarat kepentingan ikrar syahadah bagi seseorang individu. Sebagai seorang Muslim yang komited, seseorang itu perlu jelas dengan konsep Demokrasi, Sekularisma dan Nasionalisma. Sekiranya kefahaman ini tidak jelas, dibimbangi ia mengakibatkan seseorang itu buta perlembagaan dan berlarutan dengan aqidah yang pincang.

Rujukan:

1) http://en.wikipedia.org/wiki/Constitution
2) http://en.wikipedia.org/wiki/Constitution_of_Medina
3) Perlembagaan Malaysia
4) Perlembagaan UMNO
5) Perlembagaan PAS
6) Utusan Melayu (Malaysia)
7) Said Hawwa, “Al Islam - Syahadah dan Perkara Yang Membatalkannya”


sumber dari: http://khazanahnasional.wordpress.com/category/perlembagaan/

No comments:


UNGGUN BERSIH ITU TELAH DINYALAKAN OLEH AS-SYAHID BAHARUDDIN AHMAD

UNGGUN BERSIH ITU TELAH DINYALAKAN OLEH AS-SYAHID BAHARUDDIN AHMAD