HOMESTEY DI KOTA KINABALU, TAIPING & BUKIT MERAH (SERENDAH RM99*) HUBUNGI: 013-4898247 (SAIFUDDIN)

HOMESTEY DI KOTA KINABALU, TAIPING & BUKIT MERAH (SERENDAH RM99*) HUBUNGI: 013-4898247 (SAIFUDDIN)


.

Monday, August 31, 2009

Isu Unit Baitul Muslim

Baru-baru ini email saya diterjah oleh satu tajuk yang agak releven untuk dibincang dan difahami dari pelbagai sudut. Berikut adalah tajuk artikel yang saya maksudkan:

Semakin hancurkah pembinaan baitul muslim menerusi unit Baitul Muslim?

“Maaf, ana tak berminat utk meneruskan perancangan bait muslim yang enta aturkan kerana muslimat tu gemuk dan hitam. Bukan citarasa ana..” begitu bait kata-kata yang menerjah ke fikiran saya sampai ke hari ini. Dan natijahnya, muslimin tadi telah mendirikan rumahtangga dengan wanita yang yang menepati ciri-ciri idamannya. Malangnya wanita itu bukan ahli gerakan Islam. Tapi itu bukan masalah besar kerana dia muslimin, yang menjadi pencorak haluan kelurga. Tapi bagaimana dengan muslimat yang gemuk dan hitam itu…

Unit baitul muslim kurang efisyen dan bias?

Saya bukanlah orang yang paling layak untuk mengkritik,padahal saya berada di dalam unit yang dikritik. Tapi kritikan ini adalah semata-mata dengan tujuan untuk memperkasakan unit bait muslim sendiri. Sepanjang mengendalikan kes, saya dapati terlalu lama masa yang diambil untuk mengendalikan satu-satu kes berkaitan baitul muslim. Kebanyakannya mengambil masa berbulan-bulan. Dan jika link baitul muslim dibuat dengan unit baitul muslim di peringkat luar negara, ada yang mengambil masa bertahun. Sampai ke hari ini saya belum mengetahui mengapa kelambatan ini begitu ketara padahal kita sudah ada dunia yang tanpa sempadan, dunia di tapak tangan bilamana kita boleh saja bertanya khabar sahabat kita di luar sana dengan menekan kekunci telefon selular.

Terdapat satu evidence base yang telah saya amati, bahawa ada seorang muslimat yang dulunya merupakan aktivis dalam gerakan islam di kampus, sangat sopan dan memenuhi ciri2 wanita solehah. Dia memakai tudung labuh yang menjadi kebanggaan wanita muslimah. Kakinya sentiasa dilitupi dengan sarung kaki untuk menutup permukaan kakinya dihinggapi kotoran debu dan panahan mata lelaki tidak beriman. Saya menjadi sangat terkejut apabila bertemu dengannya baru-baru ini. Apa sudah jadi dengan penghayatan Islamnya, di mana dia meletakkan akhlaknya dulu apabila dia sanggup mendedahkan dadanya apabila mengenakan tudung bawal yang sangat nipis dah diikat ke belakang leher. Tiada lagi sarung kaki menutup kulit kakinya dari sinar ultraviolet. Saya terlalu hairan dan seharian selepas itu saya menjadi sangat takut dan mahu menangis sekuat hati. Apabila saya menyiasat dengan lebih lanjut tentang apa yang terjadi sebenarnya, kakak tadi yang merupakan pegawai kerajaan telah berusaha untuk menggunakan medium bait muslim di kampusnya untuk mencari pasangan hidup. Setelah berusaha, pihak yang mengendalikan kes kakak tadi mengambil langkah sambil lewa untuk menyelesaikannya. Setelah beberapa tahun, kes tadi tertunggak tanpa penyelesaian, kakak tadi menjadi putus harapan dan mula meragui keberkesanan untuk menggunakan unit bait muslim sebagai medium mencari teman hidup. Dan akhirnya akibat persekitaran dan pengaruh sekeliling, tanpa pantauan sesiapa yang bergelar ahli gerakan Islam, kakak tadi hanyut dalam dunianya dan lupa dengan segala yang telah dijanjikan sewaktu dia menjadi ahli gerakan Islam di kampusnya. Saya rasa amat sedih dan kecewa mendengar kisah ini.

Jadi saya menyeru dengan sepenuh hati supaya seluruh unit baitul muslim gerakan Islam di seluruh dunia supaya bersatu untuk melicinkan perancangan untuk membantu ikhwan dan akhawat membina baitul muslim secara optimum. Ada satu kritikan pedas yang saya dengar dari kampus jiran, “Unit bait muslim di tempat ana hanya membantu muslimat yang memiliki paras menarik dan muslimin yang berpewarakan seperti ustaz”. Alhamdulillah ini tidak berlaku di kampus saya. Saya lebih mengutamakan mereka yang memerlukan bantuan daripada mereka yang tidak perlukan bantuan. Jika apa yang berlaku di kampus jiran saya itu benar, alangkah malangnya…

Tahap kepercayaan ahli gerakan Islam terhadap unit bait muslim.

Semasa saya membuat survey dengan mengedarkan borang bancian untuk unit baitul muslim, satu daripada soalah yang diajukan di dalam borang ialah “Adakah anda percaya dengan unit baitul muslim sebagai medium untuk mencari teman hidup?”. Lebih daripada 80% menulis mereka percaya. Namun malangnya, tidak ramai di kalangan ahli yang betul-betul komited untuk menggunakan unit ini sebagai pemudah cara. Database muslimat lebih ramai diperolehi berbanding muslimin.

Akhirnya ini menyebabkan lambakan permintaan dari kalangan muslimat. Di sebaliknya, muslimin lebih senang jika mereka mencari sendiri calon mereka tanpa menggunakan baitul muslim.Persoalannya, di mana hilangnya muslimin yang tergolong dalam 80% tadi? Sudahlah bilangan muslimin terlalu terhad, yang terhad tadi pula mengambil langkah yang menyebabkan sumber manusia di kalangan muslimin menjadi lebih kecil dan kecil lagi. Namun, bukan semua muslimin yang mengambil tindakan sedemikian.

Persediaan pihak muslimin untuk memiliki lebih dari satu pasangan.

Islam telah menggariskan dengan penuh hikmah dan lengkap bagaimana untuk membantu muslimat yang masih belum berumahtangga. Antaranya ialah dengan memilih jalan berpoligami. Soal adakah isteri pertama bersedia atau tidak itu bukanlah masalah yang terbesar. Tetapi masalah yang paling besar ialah apabila pihak muslimin sendiri tidak mampu untuk menyediakan satu medium yang sesuai untuk membolehkan mereka memiliki lebih dari seorang isteri. Antara masalah yang serius yang masih membelenggu para suami ialah kurang dari segi ilmu dan kurang berkemampuan dari segi ekonomi. Mungkin para suami di luar sana yang bercita-cita tinggi untuk meneruskan hasrat mulia ini, bersiap sedialah terutama dari 2 aspek yang telah disebutkan tadi.

Menjadikan faktor fizikal untuk mencari isteri melebihi faktor akhlak.

“Ana nak minta calon isteri yang cantik, putih, dan sebolehnya kurus. Itu yang paling utama…”demikian permintaan yang diajukan kepada saya selaku ajk yang terlibat. Sepanjang pemerhatian ( saya tidak sempat membuat rekod secara spesifik tentang data yang terperinci kerana kesuntukan masa dan beban kerja). Secara keseluruhan, hampir 70% permintaan baitul muslim dari pihak muslimin yang diajukan kepada saya adalah berdasarkan kepada faktor fizikal melebihi faktor yang lain. Saya ingin membawa pembaca ke alam anatomi tentang siapa sebenarnya manusia di sebalik kulit ini? Sebenarnya, Allah telah menciptakan manusia semua berasal dari tanah, “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati dari tanah, kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim), kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik.”

1. Sekiranya kita mengoyakkan satu persatu lapisan kulit (dermis & epidermis) kemudian kita akan menemui lemak (subcutaneous fat) dan kemudian kita bertemu pula dengan otot, saraf dan pembuluh darah serta noda limfa (muscles, nerves, veins, arteries & lymph nodes). Kemudian kita pergi lagi mengembara lebih dalam dari lapisan tadi, kita akan berjumpa dengan tulang-tulang (skeleton). Jadi di manakah kecantikan yang sebenarnya? Kecantikan amat superfisial. Jika berlaku kemalangan atau kecederaan disimbah asid atau kebakaran kecantikan superfisial tadi akan hilang sekelip mata. Sedar atau tidak kita semua hanyalah ruh yang ditutupi dengan tulang-tulang yang melekat padanya daging dan diselaputi kulit? Yang paling penting adalah ruh atau jiwa yang terdidik dengan akhlak Islam. Tapi malang, ramai yang tidak sedar hakikat ini. Memang amat tidak dapat dinafikan punca utama yang menjadi tarikan seseorang ialah kerana faktor mukanya dan fizikalnya yang lain. Tetapi sudah lupakah ahli-ahli gerakan Islam sekalian, dengan hadith Rasulullah? “Janganlah kamu mengahwini wanita kerana kecantikannya kerana boleh jadi kecantikan itu akan membinasakannya, janganlah kamu mengahwini mereka kerana kekayaannya, kerana mungkin kekayaan itu merosakkannya tetapi kahwinilah mereka atas dasar pegangan agamanya. Hamba perempuan yang rabik dan bodoh tetapi baik agamanya adalah lebih utama”.

2. Saya sangat memandang tinggi pandangan Menteri Besar Kelantan yang membela muslimat @ wanita secara amnya :Tidak lama dahulu, MB juga mengeluarkan kenyataan mengenai pengambilan bekerja wanita cantik dan tidak cantik bekerja dan kerajaan negeri melalui tutur beliau lebih cenderung untuk mengambil wanita yang tidak cantik bekerja 3. Ada kebenaran yang cuba dibawa oleh MB Kelantan. Siapa lagi yang akan membela nasib kaum muslimat yang mempunyai ‘suboptimal beauty’ kalau bukan muslimin yang telah ditarbiyyah dengan ajaran Islam?. Sudahlah sukar untuk mendapat pekerjaan, susah pula untuk mendapat suami. Saya menggunakan istilah suboptimal beauty untuk menggantikan perkataan kurang jelita.
Ada satu lagi evidence base yang berlaku pada sahabat muslimat saya. Dia merupakan seorang siswi yang memiliki fizikal dan paras rupa yang menarik. Saya hairan, ramai muslimin yang ingin membantu muslimat tadi mendapatkan calon suami. Mereka berpendapat, rugi sangat kiranya muslimat tadi dimiliki oleh orang tidak faham Islam. Jadi tidak rugikah kita jika muslimat yang memiliki suboptimal beauty dimiliki oleh orang yang tidak faham islam? Adakah rugi itu hanya untuk wanita cantik? Alangkah malangnya..

Tempoh masa kesuburan wanita sangat terhad.

Wanita akan memasuki umur tuanya apabila mencapai umur 35 tahun. Ini bermakna ovum yang dihasilkan selepas itu tidak lagi berkualiti seperti ovum-ovum yang dihasilkan sebelum 35 tahun. If the female partner is 35 years or above, fertility is halved. Fertility declines sharply after age of 37.4 (Jika pasangan wanita berumur 35 tahun atau lebih, tahap kesuburan menjadi berkurang setengah dari asal. Kesuburan akan menurun dengan amat mendadak setelah lebih 37 tahun). Dan 1/10 dari bayi yang dilahirkan oleh wanita berusia lebih 40 tahun mungkin akan mempunyai sindrom Down’s.

Saya sangat terkesan dengan maklumat yang diperolehi ini. Jika unit baitul muslim tidak diutilisasikan dengan tahap yang optimum, saya bimbang ramai di kalangan muslimat yang ditarbiyah akan lewat mendirikan baitul muslim. Tambah bimbang lagi jika berkahwin pula dengan lelaki yang tidak ditarbiyyah dan tiada fikrah. Ataupun tidak berkahwin langsung pun. Alangkah membazirnya ovum-ovum yang berkualiti itu. Mungkin ada yang sudah lupa atau belum habis membaca buku Fathi Yakan; “Saya mestilah memilih wanita yang baik akhlak dan pegangan agamanya sekalipun ia mungkin tidak punya harta kekayaan dan kecantikan…”5

1. Al Quranul Karim, surah Al Mu’minun, ayat 12-14
2. Hadith riwayat Ibnu Majah
3. Najah Nadiah Amran, Isu mengenai wanita Islam dalam pemikiran MB Kelantan,
Subur, hal 14.
4. Campbell & Monga, Gynaecology by Ten Teachers, Arnold, pg 83.
5. Fathi Yakan, Apa ertinya saya menganut Islam, DPF, hal 68.

sumber asal: disini

Friday, August 28, 2009

Siapa dibelakang tindakkan NGO membantah pembinaan kuil

Sekali lagi Malaysia dicemari oleh segolongan manusia (atas nama sebuah NGO) yang tidak berfikir dahulu sebelum bertindak. Kejadian semalam menyaksikan NGO tersebut membawa kepala lembu sebagai tanda protes terhadap cadangan kerajaan negeri Selangor membina kuil hindu di Seksyen 23 Shah Alam. Tindakan tersebut sangat tidak bijak dan boleh menimbulkan masalah lain di dalam masyarakat.

Bantahan tersebut mungkin berasas, tetapi persoalannya kenapa perlu dibawa kepala lembu. Meskipun alasan yang diberikan sebagai simbolik kebodohan tetapi tidak bolehkah berfikir secara matang. Apakah simbol kebodohan hanya dapat dizahirkan dengan kepala lembu. Siasatan perlu di lakukan, kerana adakah ianya suatu tindakan provokasi terhadap pihak lain.



Islam tidak mengajar umatnya berlaku melampaui batas, apatah lagi menghina mana-mana kepercayaan agama lain. Sekali lagi saya berharap semua pihak bertenang dan tidak terburu-buru. Saya yakin ada dalang disebalik tindakan tersebut dan pihak polis perlu menyiasat siapa dalang disebalik tindakan provokasi tersebut. Semoga Malaysia dilindungi dari fitnah yang sengaja dicipta oleh pihak yang berkepentingan.

Perkataan 'Take Beer' pernah digunakan oleh pihak tertentu sebagai menghina PAS atas seruan 'Takbir' sebelum ini. Siapa pihak yang dimaksudkan itu?

Thursday, August 27, 2009

Tahniah dan Selamat Pengantin Baru

Beberapa hari yang lalu, saya dan beberapa rakan DPI (Diploma Pengajian Islam UMS) agak terkejut apabila menerima berita perkahwinan Ust. Bongsu Aziz (perkahwian ke-2). Menambahkan lagi kejutan apabila isteri baru beliau juga adalah dari rakan sekelas DPI kami (Pn. Ofelia). Kesempatan ini saya mengucapkan 'Selamat Pengantin Baru' buat kedua mempelai. Semoga dapat melahirkan ramai zuriat pejuang.



Mengenali Ust. Bongsu Aziz
Beliau merupakan anak jati Negeri Sabah dan kini berkhidmat di UiTM cawangan Sabah. Penah menerima anugerah 'Tokoh Ma'al Hijrah' peringkat negeri Sabah tahun lepas. Sering kali juga keluar di RTM di dalam rancangan Forum Perdana Ehwal Islam. Saya mengenali Ust Bongsu hampir 3 tahun dan pernah berusrah dengannya. Semoga semangat perjuangan Ust dan isteri-isteri serta anak-anak bertambah. Amin..

p/s: hajat dihati ingin menulis sedikit tentang kebangkitan Islam melalui perkahwianan. InsyaAllah akan diterbitkan di blogislamreturn suatu masa nanti.

Analisis Ringkas Kemenangan PAS di Permatang Pasir

Pilihanraya kecil baru-baru ini menyaksikan satu pertandingan tradisi antara UMNO/BN dan PAS. Perjuangan PAS dalam menuntut keadilan bersama-sama PR telah menzahirkan kehendak rakyat terhadap perubahan di Malaysia. Sekadar analisis ringkas cuba untuk saya bicarakan kali ini tentang kemenangan PAS/PR.


Mac 2008
- Pemilih Berdaftar : 20350

Jumlah keluar mengundi : 16803
Peratus : 82.57%
Undi PAS : 11004
Undi BN : 5571
Majoriti : 5433
Undi Rosak : 227

Ogos 2009 -Pemilih Berdaftar : 20350

Jumlah keluar mengundi : 14832
Peratus : 73.1%
Undi PAS : 9618
Undi BN : 5067
Majoriti : 4551
Undi Rosak : 83


Analisis perbezaan (jumlah undi berbanding jumlah keluar mengundi):

Sekiranya dibandingkan peratus yang mengundi PAS berbanding jumlah keluar mengundi pada Mac 2008 ialah 65.49 %. Manakala peratus mengundi PAS berbanding jumlah keluar mengundi pada Ogos 2009 ialah 64.85 %. Perbezaannya hanya -0.64% sahaja (penyusutan) terhadap undi PAS. Penyusutan ini berkemungkinan kerana:

1. Pilihanraya dibuat ketika hari bekerja.

2. Amaran Khairi terhadap pengundi luar.

3. Kempen agresif BN.


Mananakala, peratus yang mengundi BN berbanding jumlah keluar mengundi pada Mac 2008 ialah 33.15 % dan peratus undi BN berbanding jumlah keluar mengundi pada Ogos 2009 ialah 34.26 %. Perbezaannya ialah + 1.11% (pertambahan) terhadap undi BN. Pertambahan ini mungkin kerana:

1. Pembiayaan yang berlebihan di dalam kempen.

2. Penggunaan media dan jentera kerajaan keseluruhan di dalam kempen.

3. Amalan mengugut pengundi dengan pembanggunan.


Daripada analisis ringkas di atas didapati bahawa walaupun UMNO/BN telah mengerahkan segala jentera untuk memastikan kemenangan atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti besar PAS, tetapi ternyata gagal. Semoga kemenangan ini mengingatkan kita pada Badar Al-Qubra. Saya dan isteri terus melaksanakan sujud syukur sejurus menerima berita kemenangan tersebut. Allahuakbar!

Sunday, August 23, 2009

Edaran risalah penerangan H1N1 oleh Pemuda Sepanggar

23 Ogos (Kota Kinabalu) Pemuda Sepanggar dengan kerjasama Unit Amal hari ini telah berjaya melaksanakan program edaran risalah penerangan tentang H1N1. Bazar Ramadhan Indah Permai menjadi pilihan pertama untuk edaran minggu ini. Selain dari maklumat pencegahan H1N1, turut dimuatkan juga, kenyataan terkini Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga doa-doa ma'thur sebagai pendinding umat Islam.


Objektif utama program ini ialah untuk turun ditengah-tengah masyarakat bagi menyampaikan maklumat semasa. Pemuda PAS Sepanggar merasakan masyarakat perlu diberi maklumat yang tepat berkenaan H1N1, termasuklah doa-doa yang benar menurut sumber yang soheh.

Program seperti ini akan diteruskan pada setiap hujung minggu dengan tumpuan akan diberikan pada bazar-bazar ramadhan di sekitar Karamunai.

"Ya Allah, mungkinkah Ramadhan kali ini yang terakhir buat ku? Andainya benar.. Ya Allah, terimalah ibadah ku buat kali terakhir ini seadanya.."

Thursday, August 20, 2009

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Pada kesempatan ini, blog Islamreturn ingin merakamkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua pembaca setia blog ini. Semoga Ramadhan kali ini menggamit kerinduan terhadap Ilahi.

Juga semoga dibulan yang mulia ini, dilindungi kita dari 'bahana fitnah' akhir zaman yang merobek setiap jiwa. Golongan yang rakus ingin meneruskan kuasa terus-menerus memomok fitnah setiap hari sehingga tidak terkecuali Tn Guru Nik Abd Aziz. Semoga beliau sabar dan teguh. Juga jangan lupa bermohon kepada Allah s.w.t agar membenam kezaliman sehingga tiada lagi penindasan dan akhirnya tertegaknya sebuah negara yang aman dan diberkahi. Mohon dan mintalah padaNya di saat berbuka.

Calon BN Bermasalah.

Sumber: http://perisik-rakyat.com/

Yusri Isahak, bekas rakan kongsi calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir, hari ini tampil untuk memberi penjelasan kepada seluruh rakyat tentang kedudukan sebenar Rohaizat dan bagaimana calon BN itu ditarik lesen perkhidmatan peguamnnya.


Dalam satu sidang media khas yang diadakan di Yayasan Aman dekat sini, pagi ini, beliau telah mengatakan rakan kongsinya itu, bukan sahaja mengkhianatinya, bahkan mengkhianati UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan tidak memberitahu perkara yang sebenarnya.

Kenyataan akhbar beliau akan disiarkan kemudian.

Lagi berita penuh disini: http://greenboc.blogspot.com/

islamreturn: Moga apa yang berlaku menjadi pengajaran yang besar buat rakyat yang mencintai keadilan.

Monday, August 17, 2009

Sejarah mengajar siapa pengkianat dan petualang

Salam perjuangan.

Pengkianat dan petualang.. adalah antara ungkapan-ungkapan yang biasa kita dengar. Kebiasaannya ungkapan ini diberikan kepada individu atau perkumpulan yang berpaling tadah atau talam dua muka. Ini bererti ungkapan tersebut bisa digunakan oleh mana-mana pihak asalkan membawa erti 'berpaling tadah' atau 'bertalam dua muka'.

Manusia diajar agar memahami sejarah, kerana sejarah adalah guru kehidupan di dalam menentukan kebenaran. Bagi sesiapa yang buta terhadap sejarah bererti baginya adalah membutakan hatinya terhadap kebenaran. Mari kita melihat erti pengkianat dari perspektif sejarah.

Kemardekaan Malaya
Siapa yang mendesak supaya 'Parti Hizbullah' pimpinan Abu Bakar Al-Baqir di hapuskan oleh British dengan menyatakan 'Bahaya dari Gunung'.

Tulisan Jawi dan Bahasa Malaysia
Siapa yang memusnahkan penghayatan bahasa jawi dikalangan generasi muda sekarang manakala Bahasa Malaysia hanya dijadikan bahasa satera dan bukan lagi bahasa sains dan teknologi.

Islam dan Syariat
Perlaksanaan Islam sebagai sistem permerintahan seringkali mendapat tentangan dan bantahan. Malah orang bukan Islam ditakut-takutkan dengan perlaksanaan syariat Islam sehinggakan mereka semakin jauh dari memahami Islam.

Perundangan dan Keadilan
Sistem kehakiman dirobek dengan skandal 'Linggam' yang belum selesai. Rakyat diugut ugut dengan akta ISA dan akta-akta yang bercanggah dengan hak-hak asasi manusia. PDRM, SPRM dan SPR yang sepatutnya tunggak keadilan kini menjadi alat kepada kepentingan politik.

Ekonomi yang tidak seimbang
DEB yang digubalkan sepatutnya menjadi pembela kepada keseimbangan ekonomi tidak mencapai objektif walaupun lebih 20 tahun dilaksanakan. Ketirisan dan integriti menjadi punca kegagalan DEB.

Benarlah sejarah menyimpan pelbagai rahsia kebenaran, tanyalah diri sendiri siapakah 'Pengkianat dan petualang!?

Thursday, August 13, 2009

Takziah kepada seluruh keluarga Ust Asri

sumber: http://passepanggar.blogspot.com/

Malaysia menerima sekali lagi berita kehilangan seorang pejuang cekal di dalam bidang dakwah, setelah pemergian ADUN Permatang Pasir baru-baru ini. Kali ini seorang pendakwah di dalam bidang seni iaitu Mohamad Asri Ibrahim atau dikenali sebagai Ustaz Asri (vokalis Rabbani). Berita pemergian Ust Asri saya terima melalui beberapa laman web termasuk web harakahdaily. Pemergian beliau mengadap Ilahi diusia semuda 40 tahun telah mengejutkan banyak pihak. Semoga roh beliau ditempatkan dikalangan orang-orang soleh amalannya. Dewan Pemuda PAS Kawasan Sepanggar mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga beliau. Semoga dilimpahkan kesabaran atas dugaan ini.

Ketua Pemuda & Seluruh Jawatankuasa Pemuda PAS Kawasan Sepanggar, Kota Kinabalu.

Penulis: Album Nostalgia Nada Murni adalah hadiah terakhir beliau pada peminat dunia hiburan islami.

Wednesday, August 12, 2009

Air Asia: Kreatif dan Kritis

Maksud Kreatif
Berdasarkan konsep kreativiti secara umum, dapat disimpulkan konsep pemikiran kreatif berkisar kepada entiti berikut:

1. Melakukan sesuatu dengan cara yang unik.
2. Seseorang itu dapat keluar daripada pola yang sama atau the pattern of sameness.
3. Berfikir di luar kotak atau thinking outside of the box.
4. Melihat sesuatu daripada perspektif baru.
5. Menggabungkan idea yang sedia ada kepada pembentukan idea baru.
6. Membuka minda dengan idea-idea baru.
7. Mencabar andaian.
8. Mencipta sesuatu yang baru.
9. Menghubungkan idea yang tidak berkaitan.
10. Menerbitkan idea besar kepada idea-idea kecil.
11. Berfikir secara fleksibel.
12. Membuat sintesis, imaginasi dan visualisasi.

Maksud Pemikiran Kritis
Pemikiran kritis merupakan:
1. Kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kemunasabahan atau kewajaran sesuatu idea.
2. Meneliti kebernasan kesahan atau kelemaham sesuatu hujah
3. Membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah.

Air Asia
Bagaimana sebuah syarikat yang lahir tidak sampai 10 tahun boleh menjadi sebuah syarikat gergasi penerbangan dunia? Mungkinkah jawapannya ada pada ‘kreatif dan ‘kritis’.

Dakwah
Apakah akan terjadi sekiranya konsep ‘kreatif’ dan ‘kritis’ ini menjadi amalan dalam ‘gerakan dakwah’..? Kerana keberjayaan dakwah akan menatijahkan kejayaan di dalam 'Siyasah'.

Tuesday, August 11, 2009

Monday, August 10, 2009

Wahai pemuda perjuangan!

Sumber: http://passandakan.blogspot.com/

Jalan di hadapan kita terentang jauh dan berliku. Jalan yang telah dirintis oleh pendahulu kita juga panjang dan berliku. Kita tidak tahu bilakah akan kita temui penghujung jalan ini. Namun kita yakin, malah wajib meyakini bahawa penghujung jalan perjuangan ini adalah ganjaran syurga daripada Allah SWT.

Kita telah memilih untuk hidup berjemaah. Maka bergerak dan berkerjalah sebagai sebuah jemaah. Jemaah adalah laksana koloni sang anai-anai yang bisa meranapkan sebuah bangunan tinggi. Kitalah koloni itu, yang bertekad meruntuhkan sebuah bangunan yang dibina oleh para juhala sehingga terbentuk menara jahiliah yang berdiri kekar sehingga kini. Biar…biar betapa sukar…kita perlu bulatkan tekad. Miski kita mati sebelum melihat keruntuhannya, asal kita mati dalam perjuangan mulia ini.

Jemaah juga merupakan satu arus yang mengalir dari legeh pergunungan. Ia telah mengalir melintasi segala hutan dan belantara. Ia telah mencelah segala lembah, jurang maupun dataran pamah. Ia juga telah mengalir menembusi desa dan kota. Ia akan tersu mengalir dan tidak akan pernah berhenti sehingga menemui penghujungnya yang bersatu di al-kauthar. Janganlah letih dan malas dengan perjalanan panjang berliku sungai jemaah ini. Kerana tiada sungai yang mengalir terus melainkan sungai jemaah yang mendokong perjuangan kebenaran ini.

Jemaah…laksana angin yang menderu. Ke barat dan timur harus sehala berpadu. Nyahkan gumpalan awan kebatilan yang menghalang. Angin jemaah akan bertiup dalam kondisi apapun. Sebagai angin sepoi-sepoi bahasa maupun sebagai ribut membadai. Angin ini adalah angin perjuangan suci dan tidak pernah akan berhenti hinggalah direnggut sor-sor akhir zaman.

Oleh itu, bagi yang telah memilih jemaah ini sebagai medan perjuangan, semoga penggabungan anda akan menjadikan anda salah satu mata rantai para pendahulu yang telah pergi. Mereka telah mendapat apa yang dijanjikan buat mereka. Kita…mudah-mudahan masih menunggu terkotanya janji itu buat kita.

من المؤمنين رجال صدقوا ما عاهدوا الله عليه فمنهم من قضى نحبه ومنهم من ينتظر وما بدلوا تبديلا

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; Maka di antara mereka ada yang gugur. dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu dan mereka tidak merobah (janjinya),

(Surah Al-Ahzab: Ayat 23)

Oleh: Kamaruddin Wahab
Ketua Dewan Pemuda Pas Sandakan
Sesi 2009-2011

Thursday, August 6, 2009

Kenapa saya bersama PAKATAN tidak bersama BARISAN?

Persoalan ini perlu difahami kerana ianya bukan sekadar satu eksperimen tetapi adalah satu kewajipan. Berikut adalah perkara yang perlu kita fahami dan mencari jawapan:-


a) Antara berikut yang manakah membuka ruang untuk menyampaikan Islam dengan lebih jelas?

1. PAS berkeseorangan sebagai parti siasah

2. PAS bersama PAKATAN RAKYAT

3. Memberi laluan kepada BARISAN NASIONAL memerintah


b) Antara berikut yang manakah kezaliman (ISA, akta Polis, akta Mesin Cetak dan lain-lain) dapat dihapuskan?

1. PAS berkeseorangan sebagai parti siasah

2. PAS bersama PAKATAN RAKYAT

3. Memberi laluan kepada BARISAN NASIONAL memerintah


c) Antara berikut yang manakah pembaziran dana Negara dapat diselamatkan?

1. PAS berkeseorangan sebagai parti siasah

2. PAS bersama PAKATAN RAKYAT

3. Memberi lauan kepada BARISAN NASIONAL memerintah


d) Antara berikut yang manakah dapat membela golongan mustadi’ifin?

1. PAS berkeseorangan sebagai parti siasah

2. PAS bersama PAKATAN RAKYAT

3. Memberi laluan kepada BARISAN NASIONAL memerintah


e) Antara berikut yang manakah umat Islam dapat melaksanakan prisip-prinsip Islam? (kaedah fiqah: 'Sekiranya tidak dapat buat semua jangan tinggal semua')

1. PAS berkeseorangan sebagai parti siasah

2. PAS bersama PAKATAN RAKYAT

3. Memberi laluan kepada BARISAN NASIONAL memerintah


Cukuplah setakat itu dahulu soalan yang memerlukan jawapan dari para pembaca. Persoalan sekiranya PAKATAN menentang prinsip Islam, jawapan saya ialah, itulah medan ‘FIGHT’ kita. ‘Fight’ sebagaimana Rasulullah berhadapan dengan Abu Jahal dan Abu Lahab.

Faham atau buat-buat tak faham..?

Kebelakangan ini ada dikalangan pemimpin DAP yang bertindak seolah-olah mereka mewakili suara rakyat dan parti. Namun apa yang kelihatan hanyalah kenyataan-kenyataan dangkal yang berasaskan emosi perkauman dan keagamaan. Saya tidak berniat menuduh, tetapi sebagai rakyat yang prihatin terhadap pluralisme di Malaysia, saya merasakan budaya ini tidak sihat untuk diamalkan oleh mana-mana pemimpin di Malaysia. Sebagai seorang muslim, kami di ajar untuk menghormati budaya dan agama lain. Kami juga dilarang untuk menghina atau merendah-rendahkan kepercayaan agama lain. Itu adalah prinsip yang diajar oleh nabi kami.

Kenyataan Ronnei Liu dan Jeff Ooi baru-baru ini serta pemimpin DAP Kedah sebelum ini, seolah-olah mereka masih belum tamat belajar di Universiti Of Malaysia (UOM). UOM mengajar kita menghormati sesama kita dan tidak bertindak membelakangi sensitiviti keagamaan dan perkauman. Sesungguhnya tuhan telah mentakdirkan untuk kita hidup bersama, mencari rezki di tanah yang sama, berhujan dan berpanas di bumi yang sama. Oleh itu seharusnya kita sentiasa mengawal tindak tanduk dari bertindak melepasi batasan emosi.

Islam adalah satu agama kedamaian, keamanan dan keadilan. Islam bukan agama keganasan atau penindasan. Asas ini perlulah diketahui oleh semua masyarakat bukan Islam. Islam juga membuka seluas-luasnya pintu perbincangan sebagai jalan penyelesaian kepada sebarang permasalahan dengan syarat tidak membelakangi prinsip Islam. Namun sekiranya Islam itu dihina dan direndahkan kemuliaannya, kami juga tidak diajar untuk berdiam diri, malah kami diajar untuk mempertahankannya. Oleh yang demikian saya menyeru seluruh pemimpin masyarakat bukan Islam yang bernaung dibawah tanah air yang bernama Malaysia agar memahami asas ini.

Saya juga yakin bahawa ada dikalangan pemimpin dan masyarakat bukan Islam yang sangat memahami perkara ini. Kefahaman inilah akan membentuk ciri-ciri Malaysia Baru. Cita-cita ke arah Malaysia Baru memerlukan seluruh masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia saling bantu membantu tanpa mengira latarbelakang bagi menjayakannya. Segalanya memerlukan kefahaman yang jelas terhadap asas-asas yang saya sebutkan tadi. Akhir bicara, saya ingin bertanya kepada mana-mana pemimpin yang masih belum mengerti realiti ini, “Anda faham atau buat-buat tak faham..?


English Version (if you don't understand)


Lately there are those among the DAP leaders act as if they represent the voice of the people and the party. Yet they just portray questionable racial and religious base statements. I have no intention of accusing anybody, yet as a citizen who is concern about the pluralism in Malaysia, I don’t think this is a healthy culture to be practiced by any leaders in Malaysia. As a muslim, we are taught to respect others religion and culture. We are also prohibited from mocking or looking at other religions in contempt. Those are the principles taught by our prophet.

The recently Ronnei Liu and Jeff Ooi statements, as well as the Kedah DAP leader before, shows as if they have not graduated from the University of Malaysia (UOM). UOM teaches us to respect one another & not to go against racial and religious sensitivity. By right God has destined us to live together, making a living and facing hardships on the same soil. Thus, we should always control our actions from behaving beyond the emotional limits.

Islam is a religion of peace and justice. Islam is not a religion of violence and cruelty. All non-muslims should know this foundation. On top of that, Islam opens the widest room for talks in order to find solutions for any problems occur as long as it doesn’t go against the Islamic principles. Still, when Islam purity is mocked and challenged, we are not thought to just let it be, in fact, we are taught to defend it. Therefore, I am calling upon all the non muslim community leaders under the same soil of Malaysia to understand these basic principles.

I believe there are those among the non muslim leaders and community truly understand this matter. This belief is the one that will shape the New Malaysia characteristics. This dream towards New Malaysia needs the whole community of various religions and races in Malaysia to help one another regardless of their backgrounds in order to achieve it. Everything need to have a clear understanding towards the basics that I have mentioned just now. Lastly, I would like to ask any leaders that that still don’t understand this reality, 'understand? or are you pretending that you don't?'

Tuesday, August 4, 2009

Penyebaran H4E1 dirancang

Sumber: http://passepanggar.blogspot.com


Dewan Pemuda PAS Kawasan Sepanggar baru-baru ini telah memutuskan untuk merancang menyebarkan H4E1. Walaubagaimana pun H4E1 bukanlah wabak merbahaya seperti H1N1, tetapi H4E1 bermaksud ‘Harakah For Everyone’. Perancangan H4E1 ini telah dirancang oleh Ketua Penerangan DDP Kawasan Sepanggar iaitu saudara Nader. ‘Harakah For Everyone' adalah satu konsep gerak kerja pemuda secara mingguan, ini bererti setiap dari pemuda PAS kawasan Sepanggar akan diwajibkan membeli harakah pada setiap minggu dan seterusnya akan diedarkan secara percuma kepada umum.

DPP Kawasan Sepanggar mengharapkan dengan gerakkerja ini, masyarakat akan mendapat maklumat yang lebih benar dan seterusnya mengelak dari menerima maklumat atau berita dari media perdana semata-mata. 'Harakah For Everyone' juga bertujuan untuk memupuk semangat bekerja untuk Islam pada setiap masa dan dimana sahaja dikalangan pemuda tanpa ada ‘stigma’ bekerja hanya apabila ada program.

Gerakkerja ini telah dibawa untuk diperbincangkan di dalam usrah pemuda Sepanggar dan kesemua ahli usrah bersetuju untuk memikul tugas ini. Selain dari itu, ahli usrah juga bersedia untuk membeli Harakah dengan harga RM3.00, serta baki dari jualan ini akan disumbangkan terus ke tabung ‘Dana Dakwah’ untuk program-program dakwah diserata Sabah. Semoga perancangan 'Harakah For Everyone' akan memberi impak kepada kefahaman masyarakat terhadap Islam dan seterusnya menerima Parti Islam Semalaysia sebagai sebuah Jamaah Muslimin untuk memimpin umat.

Sunday, August 2, 2009

...............................................................................................................................

Media arus perdana memomokan bahawa Himpunan Aman Membantah ISA mendatangkan kemudaratan terhadap peniaga dan harta benda awam. Tetapi terlupa memaparkan gambaran berikut:-


1. Kenderaan yang terbakar.
2. Cermin kedai atau kereta yang pecah.
3. dan lain-lain kemusnahan angkara peserta.

Apa yang kita lihat hanyalah kekacauan akibat dari angkara pihak berkuasa. Itulah gaya cerita Media Cap DACING, dulu, kini dan selamanya..

..............................................................................................................................

Saturday, August 1, 2009

Apabila kezaliman dibiarkan..

Bapanya di tahan di ISA selama 7 tahun. Kini ibunya yang berjuang untuk membebaskan suami tercinta ditahan kerana terlibat di dalam himpunan aman membantah ISA. Saya ingin bertanya, manakah lagi pembela-pembela keadilan?!

Nukilan Al-Quran tentang orang yang berdiam diri terhadap kezaliman.

Firman-Nya lagi dalam ayat 79 surah al-Maidah yang bermaksud: "Mereka sentiada tidak berlarang-larang (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereke lakukan. Demi seseungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka lakukan."


Pesanan Rasulullah terhadap kemungkaran.


Baginda s.a.w berpesan dengan maksudnya: " Sesungguhnya di kalangan kamu yang melihat perkara mungkar, hendaklah dia mengubah dengan tangannya, kalau tidak berkuasa mengubah dengan tangan ,maka dengan lidah, kalau tidak berkuasa dengan lidah, maka benci di dalam hati, itulah tanda selemah-lemah iman." Mengikut satu riwayat laind an tidak ada selepas daripada itu iman walaupun sebijik sawi".

Umat Melayu seperti Bani Israel?

Tidak ada sebarang penentangan daripada Bani Israil apabila melihat ada di kalangan kelompok mereka menyembah lembu yang dibuat oleh Musa as-Tsamiri.

Mereka berdiam diri terhadap kemungkaran yang dilakukan itu kerana mereka menjadikan keluarga sebagai asas kepada tidak perlunya sebarang pencegahan atau larangan terhadap perbuatan tersebut.

"Bagaimana mahu menetang mereka kerana mereka adalah puak kita, kalau Firaun melakukannya barulah kita tentang. Ini bukan Firaun tetapi Bani Israil, orang kita," mungkin inilah antara hujah mereka dalam masalah ini.

Kalau kita kaitkan dengan orang Melayu pula, kita mungkin akan berkata: "Tidak boleh marah kepada orang Melayu sebab mereka sebangsa dengan kita, lainlah kalau mereka bangsa lain." Inilah umpanaya perangai Bani Israil, mereka mendiamkan diri apabila mereka melihat kemungkaran itu berlaku dalam kelompok mereka.

Dengan sebab itu, Allah SWT mendera atau meghukum mereka dengan hukuman yang layak dengan perbuatan mereka iaitu dengan cara mereka membunuh anatar satu sama lain sehingga Nabi Musa a.s berdoa kepada Allah (bermunajat kepada Allah) apabila mayat bergelimpangan, mengikut riwayatnya sampai 70,000 orang mati di dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai itu.


Dipetik dari tulisan: Tn. Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang
Tulisan penuh beliau boleh dilihat disini.

Ya Allah, Engkau telah menjadi saksi bahawa kami dari kalangan jamaah ini telah menyatakan penentangan kami terhadap kezaliman. Ampunkan kami di atas sifat berlebihan kami dan saksikanlah bahawa kami telah melaksanakan amanah nabi Mu.


UNGGUN BERSIH ITU TELAH DINYALAKAN OLEH AS-SYAHID BAHARUDDIN AHMAD

UNGGUN BERSIH ITU TELAH DINYALAKAN OLEH AS-SYAHID BAHARUDDIN AHMAD