HOMESTEY DI KOTA KINABALU, TAIPING & BUKIT MERAH (SERENDAH RM99*) HUBUNGI: 013-4898247 (SAIFUDDIN)

HOMESTEY DI KOTA KINABALU, TAIPING & BUKIT MERAH (SERENDAH RM99*) HUBUNGI: 013-4898247 (SAIFUDDIN)

Sunday, June 26, 2011

AJK Masjid Bandaraya, Likas menghalau pemuda bersolat

Sumber: http://passepanggar.blogspot.com/

Dewan Pemuda PAS kawasan Sepangar berasa kesal dengan sikap angkuh salah seorang AJK Masjid Bandaraya, Likas, Kota Kinabalu yang menghalau seorang pemuda dari bersolat di masjid semata-mata kerana pemuda tersebut memakai baju BERSIH. Kejadian yang berlaku di masjid tersebut dapat dilihat oleh seluruh ahli kariah yang turut sama bersolat di masjid tersebut.

 Selain dari kata-kata kesat, baju beliau juga direntap oleh AJK Masjid tersebut


Salah seorang ahli kariah masjid memarahi ajk tersebut

Pemuda yang tidak mahu namanya dikenali itu, sememangnya sering bersolat di masjid tersebut telah dihalau keluar dari masjid ketika selesai bersolat magrib. Selain dari menghalau pemuda tersebut, AJK masjid yang dikenali sebagai Hj. Paiman tersebut telah mengeluarkan kata-kata kesat dengan menuduh pemuda tersebut sebagai munafik. Tidak cukup dengan kata-kata kesat, beliau turut menolak pemuda tersebut dengan kasar.

Situasi yang memalukan ini akhirnya dileraikan oleh salah seorang ahli kariah yang masuk campur. Ahli kariah itu dengan nada yang tegas telah menegur AJK masjid tersebut kerana sikapnya yang memalukan itu. Beliau membela pemuda tadi, dan memarahi AJK masjid tersebut kerana menghalau anak muda dari bersolat semata-mata kerana mamakai baju BERSIH.

Dewan Pemuda PAS kawasan Sepangar melihat perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Sehubungan dengan itu, DPP Sepangar menggesa agar Jawatankuasa Masjid Bandaraya segera mengambil tindakan terhadap AJK masjid tersebut di atas sikap beliau yang merosakan imej Masjid Bandaraya yang sememangnya terkenal dikalangan para pengunjung dan pelancong.

Mengenai Himpunan BERSIH yang akan diadakan pada 9 Julai nanti, DPP Sepangar menyeru seluruh rakyat Sabah agar berpakaian berwarna kuning dan keluar ke bandar-bandar beramai-ramai bersama keluarga.

-Pilihanraya Bersih dan Adil-
-Kearah Negara Berkebajikan-
-Selamatkan Malaysia-

Thursday, June 23, 2011

Panduan Bagi Peserta Perhimpunan Bersih 2.0

 SEBELUM BACA MARI KITA SAKSIKAN VIDEO INI (CLIK DISINI)

Fakta :
Perhimpunan Bersih 2.0 Pada 9 Julai 2011 (Sabtu), Jam 2 Petang Di Kuala Lumpur
(Lokasi : Masjid Kg. Baru, Sogo & Bangunan DBKL). 
Aman Dan Tanpa Senjata.

Tuntutan Bersih 2.0 :
  1. BERSIH kan Senarai Undi (Daftar Pemilih)
  2. Reformasikan Undi Pos
  3. Gunakan Dakwat Kekal
  4. Akses Media Yang Bebas & Adil
  5. Tempoh Berkempen Minima 21 Hari
  6. Kukuhkan Institusi Awam
  7. Hentikan Rasuah
  8. Hentikan Politik Kotor
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 :
Dipengerusikan Oleh Dato Ambiga Sreenavasaan (Mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia). Anggotanya Adalah Daripada Kalangan Pimpinan Dan Aktivis NGO’s.

Kedudukan Parti-Parti Politik Termasuk PAS :
Adalah Sebagai Entiti Yang Bergabung Di Dalam Bersih 2.0 Dengan Aspirasi Bersama Iaitu Menuntut Satu Sistem Dan Perjalanan Pilihan Raya Yang Bersih & Adil Untuk Malaysia.

Jangkaan/ Unjuran :
Kita menjangkakan pelbagai kaum akan muncul, pelbagai ideologi dan kepercayaan akan berhimpun untuk menyatakan pandangan mereka khususnya dalam mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia untuk mereformasikan pilihan raya.
Oleh itu bagi melancarkan perhimpunan ini, kita mengeluarkan satu garis panduan yang diharapkan dapat membantu semua pihak dalam memastikan perhimpunan ini dapat berjalan dengan lancar, aman dan tanpa sebarang provokasi .

Perkara Yang Perlu Anda Bawa/Sediakan : 
  1. Kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM sahaja. 
  2. Duit-maksimum RM100 sahaja. 
  3. Memakai pakaian yang sopan-T-shirt /baju berwarna Kuning. Sebaiknya ada logo Bersih 2.0  
  4. Setiap peserta diwajibkan memakai kasut.
  5.  Sediakan baju hujan berwarna kuning. 
  6. Aksesori kempen-Button, kopiah arm band, bendera kecil, banner dan placard yang ada Logo atau Slogan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihan raya boleh digunakan. 
  7. Bendera Malaysia atau negeri masing-masing. 
  8. Air mineral, sedikit makanan ringan atau gula-gula. 
  9. Sedikit garam batu ; Ia penting dan boleh dimakan sedikit (bukan sapu dimuka) bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika Pihak Polis sembur air dari Water Canon atau Gas pemedih mata. 
  10. Kain tuala kecil basah untuk tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata. 
  11. Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis “N100 Respirator, N95 Respirator” dan “Surgical facemask” untuk mengelak penularan wabak Influenza H1N1 dan juga menghindarkan sedutan gas pemedih mata yang melampau. 
  12. Jika anda mempunyai asma atau alahan sila bawa inhaler atau ubat sendiri. 
  13. Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata. 
  14. Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama dan no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan. 
  15. Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email kitabersaudara_lpd@yahoo.com  atau talian 019-340 7721.

Perkara Yang Tidak Dibenarkan :
  1. Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta.
  2. Jangan bawa terlalu banyak wang atau kad kreadit untuk elakkan penyeluk saku, tercicir atau hilang semasa perhimpunan atau ditahan.
  3. Jangan memakai selipar, kasut tumit tinggi atau sandal yang menghalang pergerakkan.
  4. Jangan memakai kain atau skirt, digalakkan memakai seluar.
  5. Jangan memakai barang kemas atau aksesori yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihan raya.
  6. Jangan bawa sebarang banner, placard, bendera yang melambangkan logo parti dan organisasi.
  7. Sebarang slogan yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 tidak dibenarkan.
  8. Jangan bawa sebarang benda tajam kecuali pen.
  9. Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti, mancis, molotov cocktail dan mercun.
  10. Tidak dibenarkan merokok semasa perhimpunan kerana akan menganggu orang lain.
  11. Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya.
  12. Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan.
  13. Jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah.
Perkara Yang Perlu Anda Lakukan Sebelum Perhimpunan :
  1. Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa.
  2. Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan.
  3. Pastikan anda telah menunaikan ‘hajat’ sebelum memasuki perhimpunan.
  4. Bagi yang Islam, Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini dan yang bukan Islam boleh berdoa mengikut ritual masing-masing.
  5. Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan.
  6. Maklumkan mereka tujuan anda keluar.
  7. Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti.
  8. Jangan lupa “charge” bateri handphone dan kamera.
  9. Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu tempat berkumpul yang ditetapkan — Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru
  10. Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter.
  11. Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian.
  12. Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru (Jangan terus ke Istana Negara bersendirian).
  13. Jangan memakai baju Bersih 2.0 sebelum perhimpunan bermula bagi mengelakkan sebarang provokasi pihak-pihak tidak bertanggungjawab..
Semasa Perhimpunan Dan Perarakan :
  1. Berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru dan tunggu arahan dari “Field Commander” yang dilantik.
  2. Ikutilah arahan dari Unit Amal atau “Field Commander” sepanjang program. Jangan pedulikan arahan lain tanpa merujuk kepada “Field Commander”
  3. Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan “Field Commander”.
  4. Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.
  5. Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan.
  6. Elakkan mencerca, memaki hamun atau menunjukkan isyarat lucah semasa perhimpunan berlaku.
  7. Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni.
  8. Pastikan anda memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan yang lalu lalang dan tidak melintas sesuka hati dijalanraya.
  9. Pastikan anda memberikan keutamaan, membantu dan melindungi warga emas, orang kurang upaya atau kanak-kanak yang hadir bersama.
  10. Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain.
  11. Pastikan anda dapat duduk semasa pimpinan berucap.
  12. Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi “sound system” akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta.
  13. Ikutilah laungan pimpinan jika perlu.
  14. Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan.
  15. Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan. Masukkan dalam beg plastik yang anda bawa.
  16. Rakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email kitabersaudara_lpd@yahoo.com   atau talian 019-340 7721. Kalau boleh rakamkan sekali wajah-wajah polis yang bertugas atau tragedi-tragedi penting seperti keganasan atau provokasi Polis jika ada.
Selepas Perhimpunan :
  1. Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai.
  2. Pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan. Jika tiada, sila laporkan ___________________________________[KL LAC?]
  3. Jika ada sahabat atau saudara anda ditahan, jangan terus balik.
    Dapatkan maklumat ___________________________ berkaitan untuk bebaskan mereka.
  4. Jangan tinggalkan apa-apa sampah di tempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang di rumah.
  5. Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang bertugas jika perhimpunan berjalan lancar.
  6. Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir.
Apa Anda Perlu Buat Jika Kumpulan Anti-Tuntutan Bersih 2.0 Buat Provokasi :
  1. Jangan pedulikan mereka, diam dan teruskan mengikut arahan “Field Commander” Unit Amal.
  2. Jangan menyahut provokasi mereka, jangan baling apa-apa, jangan tunjukkan isyarat apa-apa pada mereka. Anggap mereka tidak wujud pada hari berkenaan.
  3. Jangan hampiri mereka.
  4. Jika mereka bertindak agreasif secara tiba-tiba, tahan, jangan pukul tetapi serahkan mereka pada pihak Polis.
  5. Jangan lupa buat laporan Polis terhadap mereka jika anda dicederakan atau diganggu.
  6. Buat rakaman wajah-wajah mereka jika perlu.
Apa Anda Perlu Buat Jika Polis Buat Provokasi Dan Serbuan
  1. Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu.
  2. Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila polis acah nak buat serbuan atau tembakan water canon.
  3. Duduk jika pimpinan arahkan.
  4. Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air “water canon” berwarna kuning.
  5. Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri.
  6. Ambil gambar mereka jika sempat.
  7. Buat laporan Polis jika anda dikasari.
Apa Yang Anda Perlu Buat Jika Ditahan :
  1. Jangan banyak cakap dengan polis. Diamkan dan tenangkan diri.
  2. Minta nama dan nombor polis yang menahan anda dan tanya dia sebab anda ditahan, seksyen berapa yang digunakan.
  3. Berikan maklumat asas sahaja jika diminta seperti nama, no kad pengenalan, alamat rumah (berikan ikut alamat dalam IC sahaja).
  4. Jika mereka tanya soal pekerjaan, jawap yang ringkas sahaja. Jangan bagi maklumat yang lengkap.
  5. Bagi pelajar, jika mereka tanya anda masih belajar atau tidak, anda hanya perlu jawab “Masih tengah cari kerja” atau berikan jawapan lain yang sesuai. Elakkan mengaku sebagai student. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.
  6. Bagi kakitangan Kerajaan jika mereka tanya tempat kerja anda, jawab “Saya kerja swasta atau kerja sendiri”. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.
  7. Minta berjumpa dengan peguam sebelum beri apa-apa keterangan. Peguam akan menunggu diluar balai jika anda ditahan.
  8. Kalau boleh jangan beri terlalu banyak keterangan, anda hanya perlu jawab “saya akan bagi keterangan di Mahkamah sahaja”. Ingat! Apa yang anda cakap di Balai Polis boleh dijadikan bahan bukti di Mahkamah. Anda berhak untuk tidak memberikan sebarang keterangan kepada Polis melainkan di Mahkamah.
  9. Semasa ditahan, jangan pedulikan provokasi polis atau jangan mudah cair bila mereka berlembut.
  10. Pastikan anda ingat semua yang berlaku, termasuklah pegawai polis yang tahan dan soal siasat anda.
  11. Jangan terlalu risau kerana, di luar balai telah disediakan orang-orang yang akan jamin dan bela anda.
Apa Yang Anda Buat Selepas Dibebaskan :
  1. Pastikan semua barang-barang anda dikembalikan oleh Polis.
  2. Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan.
  3. Buat laporan Polis jika anda dikasari semasa perhimpunan atau semasa ditahan.
  4. Ceritakan  dan rakamkan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis.
  5. Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak.
  6. Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.
  7. Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan.
  8. Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan.
  9. Jangan menyepi dari perjuangan selepas melalui pengalaman ditangkap kerana itu secara semulajadi akan menyebabkan motivasi anda akan menjadi lemah dan anda akan rasa keseorangan.
  10. Teruskan perjuangan bersama sahabat-sahabat lain.
  11. Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan.
Tunggu! Perhatian… :
  1. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan ini.
  2. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang provokasi atau tindakan ganas yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara berkumpulan atau individu.
  3. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan yang disebabkan oleh kecuaian atau tindakan diluarkan arahan penganjur.
  4. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang penangkapan yang dibuat kerana pergaduhan atau aktiviti agreasif yang tiada kaitan dengan arahan himpunan ini.

Harapan Kita Semua :
Secara keseluruhannya, kita berharap Perhimpunan ini dapat berjalan erjay tanpa adanya sebarang masalah atau tangkapan.
Kita berharap agar dengan sedikit usaha dan kehadiran kita ini akan dapat memberikan kesedaran kepada pihak SPR dan kerajaan persekutuan mempergunakan kuasa yang ada untuk memperbaiki kelemahan erjay perundangan dan erjaya implementasi erjay kita.
Ingat, Himpunan Bersih erjaya pada  10 November 2007 kerana kesungguhan rakyat. Maka, kini adalah masa untuk kita berjuang bersama untuk mereformasikan pilihan raya, mengkukuhkan berbadanan institusi dan hentikan korupsi.
Pastikan anda mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Sebarang masalah anda boleh rujuk kepada “Field Commander”  atau Unit Amal yang bertugas pada perhimpunan ini. Ingatlah, peristiwa ini adalah peluang untuk anda sekali seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian dari sejarah ini.

Notes courtesy of: AIMAN ATHIRAH AL JUNDI

Monday, June 20, 2011

Tahniah PJ Baru, Terima Kasih Hj. Muhammad

Sumber: http://dppsabah.blogspot.com/

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Lahirul Latigu(Gambar) yang mewakili seluruh pemuda PAS Negeri Sabah mengucapkan tahniah kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah yang baru diantik oleh PAS Pusat iaitu saudara Aminuddin Aling.

"Kami pemuda menyokong penuh dan sentiasa bersedia untuk bersama-sama memastikan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Sabah ini" kata Lahirul dalam temubual yang dilakukan di pejabat beliau di Kota Kinabalu.

"Besar harapan kami sebagai orang muda untuk melihat satu gerak kerja yang lebih mantap yang akan dilaksanakan oleh seluruh jentera PAS di seluruh negeri bagi persediaan menghadapi pilihanraya yang dijangka tidak lama lagi".

Bila ditanya soal pertukaran jawatan tersebut beliau menjawab yang pertukaran tersebut adalah tidak lain merupakan satu peralihan biasa yang berlaku dalam organisasi dan yang paling penting ialah semua institusi parti di peringkat negeri terus bekerja untuk memastikan kemenangan pada PRU ke-13 nanti.

Selain itu Lahirul juga mengucapkan ribuan perhargaan kepada Mantan Peseruhjaya yang lepas iaitu Hj. Muhammad Abdullah yang telah mengemudi PAS Sabah sehingga PAS berjaya teguh di Sabah walaupun berhadapan dengan pebagai ujian.

Tuesday, June 14, 2011

Sajak: Bangsa Apakah Aku?


Bangsa Apakah Aku?

Bangsa apakah yang lebih pengecut apabila hidup di bawah ketakutan penjajah..
Bangsa manakah yang lebih hina apabila tunduk pada penjajah..
Minda dan jiwa terus menerus di hujung muncung senjata..
Akhirnya bangsa ku terus dihina..

Bangsa apakah aku ini andainya aku seperti itu..
Berapa banyak lagi maruah yang ingin aku serahkan..
Sedangkan aku hanya mempunyai satu maruah..
Andai maruah itu digadai, nyawalah galang gantinya..

Sedarlah, aku dilahirkan bukan dimuncung senjata penjajah..
Aku dilahirkan dengan laungan azan yang meninggikan kalimah Allah..
Laungan itulah yang kini meresap di dalam tulang belulang aku..
Sedarlah, kalimah itu jugalah yang membebaskan aku dari berhambakan syaitan..

Bangunlah dari lena bangsa yang pengecut dan hina..
Bangun dari terus diperbodohkan dengan bayang-bayang penjajah..
Kerna aku adalah bangsa yang mardeka fikiran dan perjuangan..
Aku bangsa yang bebas dari kehinaan dan kebaculan terhadap penjajah..
Aku adalah bangsa yang MARDEKA!

p/s: khas yang menganggap ugutan mampu membaculkan perjuangan..

Thursday, June 9, 2011

Sambutan Hari Guru PASTI Negeri Sabah

Sumber: http://passepanggar.blogspot.com/

8 Jun, Likas: Betempat di Hotel Likas Square, Kota Kinabalu hari ini telah diadakan Majlis Sambutan Hari Guru PASTI peringkat negeri Sabah. Majlis yang julung-julung kali ini telah dihadiri lebih 100 orang guru-guru PASTI dari seluruh pelusuk negeri Sabah. Sambutan kali ini yang bertemakan 'Guru Wahana Kemenangan Ummah' nyata membuktikan bahawa peranan guru PASTI sebenarnya merupakan pemangkin kebangkitan Islam.


Ucapan oleh Pengerusi MGP, Pn. Norhayati bt. Abd. Ghani pada sesi perasmian Mesyuarat Agong MGP

Sebahagian guru PASTI yang mengikuti Mesyuarat Agong MGP Negeri Sabah

Majlis sambutan ini diadakan pada sebelah malam yang mana telah diadakan Mesyuarat Agong Majlis Guru-Guru PASTI (MGP) pada sebelah siangnya. Pengarah PASTI Malaysia iaitu Cikgu Hassan Aladi telah sudi merasmikan dan seterusnya menyampaikan anugerah-anugerah kepada mereka yang berkenaan. Semasa ucapan perasmian beliau, beliau mengingatkan bahawa perubahan dan penerimaan PASTI semakin hari semakin mendapat sambutan. Ini terbukti apabila 10 tahun dahulu, masyarakat di Sabah masih tertanya-tanya dimana akan mereka menghantar anak-anak mereka. Numun sekarang pilihan pertama bagi ibubapa untuk pra-sekolah adalah Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam atau lebih dikenali PASTI. Beliau pada ucapan telah menggariskan 4 dasar utama bagi tempoh 2012-2016 iaitu:

1. Menjelang 2016 PASTI akan menjadi pilihan UTAMA masyarakat
2. Menggubal ko-kurikulum yang standard dan mendapat pengiktirafan ISO
3. Mempunyai KAMPUS tersendiri sebagai tempat latihan guru-guru PASTI seluruh Malaysia
4. Mempunyai Yayasan Ekonomi tersendiri

Pada sesi penyampaian anugerah, berikut adalah kategori Anugerah yang disampaikan dan para pemenangnya:

Anugerah Guru Peringkat Negeri - Junaidah Jakla
Anugerah Paling Lama Berkhidmat - Pn. Haryati Tumka (15 tahun)
Anugerah Guru Paling Aktif - Cik Kasminah
Anugerah PASTI Paling Lama - PASTI Nurul Hanani, Tawau
Anugerah PASTI Paling Aktif - PASTI Nurul Mawadah, Tawau
Anugerah Khas - PASTI Nurul Hasanah, Kota Kinabalu (mempunyai pelajar bukan Islam teramai)

 Pembacaan ikrar oleh guru-guru PASTI Negeri Sabah (gambar oleh Nahnu Jundullah)

Para penerima anugerah bergambar bersama VIP

Turut sama pada Majlis ini ialah Hj. Aminudin Aling yang juga Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sabah, Saudara Lahirul Latigu Ketua Pemuda PAS Sabah yang juga Pengarah PASTI negeri Sabah serta Pn. Norhayati Abd. Ghani iaitu Pengerusi MGP Negeri Sabah. Majlis ini telah diserikan lagi dengan persembahan multimedia dan anak-anak PASTI terpilih.

Berikut adalah statistik terkini perkembangan PASTI negeri Sabah:

Bilangan PASTI : 58 buah
Bilangan Murid : 3470 pelajar
Bilangan Guru : 135 orang

"GURU WAHANA KEMENANGAN UMMAH"

Sunday, June 5, 2011

Sejarah Tercipta: Perwakilan Keningau bersama DHPP Sabah

Salam perjuangan..

Sebentar tadi apabila aku melayari FB, terlihat gambar ini:

Bergaya dengan pakaian tradisi masyarakat setempat

Siapakah beliau..? Nantikan kisah seorang masyarakat tempatan Sabah dari suku kaum Dusun (non-muslim) yang menyertai Muktamar PAS kali ke-53 baru-baru ini.

Saturday, June 4, 2011

Mohammad Sabu akan lepaskan jawatan sekiranya..

Salam perjuangan..

Suasana pemilihan PAS pada kali ini sebenarnya dilihat oleh banyak pihak. Pelbagai pandangan dilontarkan, sama ada ianya dari pihak PAS sendiri, atau UMNO yang menjadi saingan tradisi atau mereka yang ingin melihat PAS bangkit sebagai sebuah Parti Islam (Jamaah) yang mampu menggantikan UMNO yang semakin hari semakin rosak (akidah dan akhlak). Semenjak dari beberapa bulan yang lepas, telah banyak cakap-cakap yang disampaikan kepada aku, ada yang memberi pandangan "kita perlu pertahankan kepimpinan ulama". Ada juga yang berkata "perlantikan individu tertentu akan memadamkan terus usaha perlaksanaan UG".

Sebentar tadi aku baru sahaja menghubungi seorang sahabat bagi berbincang dengan beliau untuk menubuhkan PAS cawangan seperti yang diarahkan oleh YDP. Belum sempat aku nak sampaikan hasrat tersebut, sahabat tersebut tersebut terus sahaja menyatakan kebimbangan beliau, yang tak perlu rasanya untuk aku nyatakan disini. Aku memahami apa yang beliau pendamkan, kerana suatu ketika dahulu aku pun sefikiran sebegitu. Namun, suasana dan keadaan semasa perlu diambil kira bagi memastikan mulut-mulut jahat UMNO tidak lagi memecah belahkan kesatuan Jamaah. Oleh yang demikian, kesimpulan yang dapat aku nyatakan disini ialah:

1. Utusan Malaysia dan sewaktu denganya (baca media APCO) sebenarnya tidak mampu mempengaruhi minda perwakilan untuk pemilihan yang dianggap genting ini.

2. Kewujudan suara yang kuat agar 'sekam-sekam' UG segera dipadamkan bagi menumpukan perhatian mengalahkan UMNO/BN pada pilihanraya ke-13 nanti.

3. Konsep 'kepimpinan ulama' tidak akan terhakis dengan pemilihan ini, sekalipun presiden PAS sendiri dari kalangan profesional. Ini adalah kerana kepimpinan ulama sebenarnya telah terpelihara dengan adanya 'Majlis Syura' yang menjadi penaung tertinggi keputusan halatuju parti. Namun begitu, apa yang perlu difahami sekarang ialah sehingga kini hanya 'ulama' (merujuk suasana Jamaah PAS) yang mampu untuk mewujudkan 'wehdatul fikh' dan wehdatul amal', maka penting bagi kita memeliharanya.

4. Tidak kira siapa pemimpin itu (ulama, profesional atau aktivis), paling penting sekarang ialah memastikan PAS sentiasa berada di orbit perjuangan dan fokus untuk mengambil alih peranan UMNO yang dilihat tidak lagi mampu membela umat Islam dan orang-orang Melayu.

5. Suara-suara yang memburukan sesama sendiri tidak lain, hanya merugikan jamaah. Perlu difahami bahawa pemilihan di dalam PAS akan sentiasa ada pada masa-masa akan datang. Apa yang penting sekarang ialah perlulah bekerja sepenuh kudrat (sebagaimana ucapan Presiden) bagi memastikan UMNO/BN tumbang pada pilihanraya akan datang.

Pada hujung pandangan ini, aku yakin sebenarnya Abg Mat (Mohamad Sabu) sebenarnya tidak pun ingin memegang jawatan Timbalan Presiden apatah lagi bakal dinobatkan sebagai orang no.1 parti, sekiranya berlaku sesuatu pada Presiden. Tetapi, beliau akan menyerahkan semula jawatan ini sekiranya..
fokus menumbangkan UMNO/BN berjaya dilaksanakan!

p/s: Kesempatan ini, aku ingin ucapkan jutaan tahniah dan takziah kepada seluruh kepimpinan PAS yang telah dipilih, terutamanya kepada Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man yang aku sayangi.

Thursday, June 2, 2011

Khalid Samad di Tadau Keamatan Sabah

Sumber: http://monazmuslim.blogspot.com/

Semalam, penulis bersama Sdr Fakar menjemput MP Shah Alam di Terminal 2 KKIA pada jam 1.50 petang. Beliau diundang oleh USDA (United Sabah Dusun Association) untuk bersama dalam program Tadau Keamatan yang diadakan di perkarangan rumah Datuk Kalakau Untol.

Selepas makan tengahari di Restoran D'Lengkuas Sembulan, kami terus menuju ke Tang Dynasty Hotel Sepangar untuk check-in. Selepas beliau solat jama' di hotel tersebut, kami terus menuju ke Kampung Bunga, Tenghilan kerana ada program ceramah penerangan Pakatan Rakyat yang dianjurkan oleh PKR Tuaran.

Sambutan penduduk sekitar kampung tersebut sangat baik. Dua buah balai kanopi yang didirikan di perkarangan rumah Sdr Parman dipenuhi hadirin.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat Sabah yang hadir, antaranya Dr Hiew MP Kota Kinabalu (DAP), Hj Ansari (Ketua Cabang Tuaran), Anthony (Ketua Cabang Kota Marudu) dan ramai lagi yang penulis kurang kenal.

Pimpinan PR dari Semenanjung selain Khalid, antaranya Kak Wan (Presiden PKR), Faekah Hussin (Setpol MB Selangor), Tian Chua dan Zuraidah.

Khalid Samad berceramah kira-kira sejam sementara menunggu ketibaan Kak Wan dari Kota Belud. Dengan penyampaian yang teratur dan jelas, penulis yakin hadirin yang ada di situ dapat memahami secara jelas apa yang disampaikannya. Antara yang disentuhnya ialah tentang pemberian 20 meter padu air percuma oleh kerajaan PR Selangor, kerjasama erat dalam Pakatan Rakyat, kebaikan dan ketelusan kerajaan PR memerintah 4 buah negeri.

Hadirin dilihat agak emosi dan marah terhadap UMNO BN bila Khalid mendedahkan tentang penyelewengan syarikat air Syabas, isu mahligai Khir Toyo, isu belanjawan defisit sepanjang 13 tahun berturut-turut hingga negara menanggung hutang RM440 bilion. Malah ada yang menjerit "UMNO gila", "UMNO penyamun", "UMNO jahat" dan bermacam-macam lagi gelaran hina untuk UMNO kedengaran.

Selepas 15 minit Kak Wan (Presiden Keadilan) tiba, kami pun beredar menuju ke Kg Serusup Tuaran untuk bersama dalam program penutupan Tadau Keamatan dan penyampaian hadiah kepada para ratu di sana. Kira-kira 500 orang yang hadir.



Majlis tamat kira-kira jam 6.15 petang. Kami diminta oleh Hj Ansari agar ke rumah Tuan Hj Amin untuk bersolat Maghrib dan Hajat yang diimamkan oleh Ustaz Satar.

Selesai saja solat, kami dijamu dengan hidangan istimewa oleh tuan rumah.

Kira-kira jam 7.30 malam, barulah kami bertiga bergerak ke program kemuncak di rumah Datuk Kalakau Untol bersama rombongan Kak Wan. Setibanya di sana, penulis terkejut dengan sambutan rakyat yang sudah memenuhi semua ruang perkarangan rumah. Ketibaan kami di sambut dengan paluan kompang.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa' oleh Ustaz Halim Abas (mantan pemimpin Al Arqam). Kemudian disusuli bacaan doa' oleh paderi untuk penganut Kristian.

Ceramah dimulai dengan ucapan oleh Sdr Bobby selaku Setiausaha USDA dan disusuli oleh ucapan yang begitu bersemangat oleh Presiden USDA, Datuk Kalakau Untol. Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang berceramah termasuk Faekah Husin, Nik Nazmi, Tian Chua dan Pengerusi DAP. Manakala SAPP diwakili oleh Setiausaha Agongnya.

Kemuncak acara pada malam itu ialah ucapan Khalid Samad dan Kak Wan. Sewaktu Khalid berucap, hadirin memberi tepukan gemuruh. Ada juga kedengaran suara yang menyebut "UMNO Penyamun".

Hadirin tidak berganjak dari tempat duduk mereka sehinggalah majlis penutupan oleh Kak Wan dengan pukulan gong sebanyak 3 kali.

UNGGUN BERSIH ITU TELAH DINYALAKAN OLEH AS-SYAHID BAHARUDDIN AHMAD

UNGGUN BERSIH ITU TELAH DINYALAKAN OLEH AS-SYAHID BAHARUDDIN AHMAD