HOMESTEY DI KOTA KINABALU, TAIPING & BUKIT MERAH (SERENDAH RM99*) HUBUNGI: 013-4898247 (SAIFUDDIN)

HOMESTEY DI KOTA KINABALU, TAIPING & BUKIT MERAH (SERENDAH RM99*) HUBUNGI: 013-4898247 (SAIFUDDIN)

Monday, November 30, 2009

Ibadah Korban: Antara tersurat dan tersirat

12 Zulhijjah- Ketika bersolat isya’ di Surau Al-Islah Kg. Lobou baru-baru ini saya berkesempatan untuk bertanyakan perihal ibadat korban yang telah dilakukan di kampung tersebut. Menurut saudara Miasin (pengerusi surau), selain daripada seekor lembu korban yang sedia ada dikampung tersebut, mereka juga menerima daging korban dari Masjid Telekom (masjid bersebelahan dgn kampung Lobou). Juga semasa saya ingin pulang dari surau tersebut, saudara Miasin menyatakan kepada saya, yang mereka hendak ke kampung sebelah untuk mengambil daging korban seberat 100kg bagi diagihkan kepada penduduk muslim kg. Lobou yang kebanyakannya muaalaf.

Sepengetahuan saya kampung Lobou hanya ada sekitar 25 keluarga muslim. Persoalan yang timbul dalam benak hati saya, berapa kilogram kah daging korban yang diperolehi bagi setiap keluarga muslim pada korban kali ini? Perkiraan saya, tidak kurang dari 5 kilogram untuk satu keluarga. Keadaan tersebut membuatkan saya mula berbicara lebih lanjut dengan pengerusi surau tersebut. Soalan pertama saya, bagaimana jiran bukan Islam, adakah mereka juga mendapat sedikit dari nikmat ibadah korban? Beliau menjawab tidak.

Maka saya memberi pandangan kepada beliau, kenapa tidak tahun hadapan kita mencadangkan untuk memberikan sedikit rezki dari daging korban kepada jiran-jiran yang bukan Islam di kampung tersebut. Beliau sangat bersetuju. Saya berpegang pada pandangan harus memberi daging korban sunat kepada masyarakat bukan Islam (untuk perbahasan mungkin pembaca boleh cari disini, disini dan disini). Saya mencadangkan kepada beliau sekiranya pada tahun hadapan, keadaan yang sama berlaku (daging korban yang agak banyak), kita perlu agihkan sedikit kepada jiran-jiran bukan Islam. Pertamanya kita utamakan masyarakat bukan Islam yang telah jinak hatinya dengan Islam. Kedua kita utamakan mereka yang fakir miskin dikalangan penduduk kampung.

Mungkin daging yang kita akan berikan tidak banyak (perkiraan saya cukup ½ kilo), namun ’message’ yang ingin kita sampaikan itu yang lebih penting. Moga-moga dengan agihan yang disandarkan atas keihlasan membantu fakir, miskin dan mereka yang jinak hatinya dengan Islam, mampu membuka ruang dihati mereka untuk menerima Islam sebagai agama mereka suatu hari nanti, InsyaAllah.

Ibadah Korban Yayasan Amal Malaysia di Sabah

Pada tahun ini ini Yayasan Amal Malaysia cawangan Sabah telah melaksanakan Ibadah korban di beberapa kawasan di Sabah. Ianya adalah hasil dari sumbangan orang perseorangan. Antara tempat yang dilaksanakan ibadah korban ialah:-

  1. Kg. Kimanis, Papar.
  2. Kg. Kebagu, Sepanggar.
  3. Kg. Lapasan, Tuaran dan
  4. Kg. Payas-payas, Kota Belud.

Selain dari itu Yayasan Amal Malaysia cawangan Pahang juga turut membantu di dalam misi mereka ’Jelajah Korban’ di Sabah. Antara tempat yang menjadi tumpuan mereka adalah:-

  1. Pitas dan
  2. Ranau.

Semoga usaha yang digembelingkan ini akan mampu membawa pengertian 'Ibadah Korban: Antara tersurat dan tersirat'.


Gambar sekitar program ibadah korban Yayasan Amal Malaysia.

Naib Pengerusi 1 Yayasan Amal Malaysia cawangan Sabah (Tn Hj. Nahar Matamin) , turun padang menyembelih korban di Kampung Kebagu, Sepanggar.

'Jelajah Korban' Yayasan Amal Malaysia cawangan Pahang bersama penduduk kampung Tompios, Ranau.

Wednesday, November 25, 2009

BTN vs 1 MALAYSIA

Membicarakan tentang Biro Tata Negara (BTN) semestinya kita akan dapat menduga apakah peranan disebalik egensi yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri ini. Semenjak dari dahulu lagi BTN berperanan menyuntik semangat kebangsaan kepada peserta yang hadir ke kem-kem BTN yang mereka anjurkan. Pada masa yang sama BTN juga berperanan mendendangkan agenda kepimpinan negara. Bermula dari Wasawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahadhir Mohamad, kemudiannya Islam Hadhari oleh Tun Abdullah Badawi dan kini mungkin 1 Malaysia oleh DS Najib Tun Razak akan menjadi modul utama BTN.

Selain dari menyuntik semangat kebangsaan dan menerangkan agenda kerajaan, BTN juga mengambil kesempatan untuk memburukkan individu-individu tertentu yang dianggap menentang dasar-dasar kerajaan. Mereka terdiri dari pemimpin-pemimpin parti politik pembangkang dan juga pertubuhan-pertubuhan yang dianggap mengancam keselamatan negara seperti JI, HINDRAF dan lain-lain. Sebenar mana kenyataan ini, hanya mereka yang pernah mengikuti kem-kem BTN sahaja yang mampu menjawabnya.

Namun, kelahiran idea 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh DS najib Tun Razak (idea asal dari DS Anwar Ibrahim) seolah-olah memperlihatkan agenda BTN untuk menyuntik semangat kebangsaan agak bertentangan dan mungkin terhalang. Masakan tidak, 1 Malaysia memaparkan kesamarataan kaum di Malaysia manakala fungsi asal BTN menekankan semangat kebangsaan Melayu.

Kerajaan PR dan BTN

Tindakan kerajaan negeri Selangor yang menghalang kakitangan mereka untuk mengikuti kursus BTN adalah merupakan satu langkah bijak. Ini adalah kerana peranan BTN akan menyebabkan kakitangan Selangor termakan dengan hasutan yang disuntik kepada mereka, dan akhirnya menyebabkan kerajaan negeri berada dalam keadaan terancam. Tindakan kerajaan Selangor ini perlu juga dilaksanakan dikesemua negeri-negeri Pakatan Rakyat.

BTN umpama gunting dalam lipatan yang telah diresapi oleh agenda UMNO/BN untuk terus menaburkan fitnah dan hasutan terhadap kekitangan awam dan juga tidak terlepas golongan mahasiswa. Bagi mereka yang menentang dan menunjukan sikap tidak bersetuju di dalam sesi BTN akan di cop sebagai orang pembangkang yang akhirnya boleh menyebabkan kursus beliau mungkin akan gagal.

BTN dan halatuju

Merujuk kepada laman sesawang BTN, kursus kenegaraan adalah bertujuan untuk mencapai objektif-objektif berikut:

1. Untuk memberi pendedahan dan pembentukan ketahanan diri anggota perkhidmatan awam dari segi fizikal dan mental bagi meningkatkan patriotisme kepada negara dan kerajaan;

2. Untuk memberi penjelasan tentang pengurusan disiplin dan pembentukan sahsiah anggota perkhidmatan awam dalam menjalankan tugas;

3. Untuk memupuk sikap, nilai-nilai murni dan etika kerja cemerlang di kalangan semua anggota perkhidmatan awam; dan

4. Untuk memenuhi sebahagian daripada Tahap Kecekapan 1 di bawah Penilaian Tahap Kecekapan bagi skim perkhidmatan yang berkaitan.

Rujuk Disini


Namun apa yang berlaku, selain dari objektif di atas, BTN juga berperanan mengambil alih tugas UMNO/BN dalam suasana politik negara. Peranan tersembunyi inilah yang menjadi penghalang kepada kejayaan kursus BTN.

Sepatutnya BTN harus bersifat nuteral dan tidak mencampuri urusan politik negara. Ianya perlu di kendalikan oleh mereka yang layak dan tidak ‘bias’ dengan mana-mana agenda politik. BTN juga harus menjadi tonggak menyampaikan kefahaman Islam kepada peserta tanpa mengira kaum. Selain dari itu ianya wajib menjadi agensi yang melaksanakan agenda perpaduan kaum berasaskan Rukun Negara dan bukannya berasaskan parti politik.

Laman utama BTN boleh dilayari disini.

Friday, November 20, 2009

Bertemu dan berpisah kerana Allah

Salam perjuangan..

Kehilangan seorang teman sememangnya suatu yang agak sukar diterima. Apatah lagi mereka adalah sebahagian dari urat sendi perjuangan. Perasaan yang sama sentiasa menyelebungi jiwa setiap kali berhadapan dengan sunnahtullah ini. Susah senang mengharungi badai perjuangan telah dirasai bersama. Juga penat lelah dalam menempuhi denai belukar turut ditempuhi bersama. Namun, kini seolah-olah semuanya itu kembali sepi seketika meniti medan yang penuh dengan duri dan ranjau.

Ketika mengendalikan 'tamrin' pemuda (ahli unit Amal)

Hari ini seorang lagi teman yang tidak asing kepada kami akan kembali ke semenanjung. Beliau ialah Ust. Ahmad Hafizullah Ubaidah. Setelah bersama dengan perjuangan pemuda selama hampir 9 tahun di bumi Sabah, kini tibalah masanya beliau kembali pulang. Sememangnya itulah hakikat yang perlu kami terima setelah bergelar muhajirin.

Beliau akan melapor diri ke salah sebuah sekolah di Pulau mutiara awal bulan Disember nanti. Kehadiran beliau ke bumi Sabah disaat kudratnya diperlukan. Selain menjadi naqib bagi usrah pemuda Sepanggar, beliau juga adalah mantan Pengarah Jabatan Amal Negeri Sabah kedua yang menggantikan Ust. Zol Amri kerana turut pulang ke semenanjung beberapa tahun dahulu. Selain dari itu, beliau juga dikenali sebagai penceramah hangat disekitar Pantai Barat Sabah kerana ceramah beliau berjaya menarik perhatian ramai pendengar.

Berbincang sebelum meneruskan aktiviti (turut sama saudara Nasirin)

Usrah pemuda Sepanggar (kenangan ber'naqib'kan ust hafizullah)

Secara pribadi saya mula mengenali Ust. Hafizullah setelah menjadi setiausaha Jabatan Amal Negeri Sabah ketika mana beliau menjadi Pengarah. Banyak pandangan serta idea beliau yang dapat saya kutip sepanjang bersama beliau. Sering kali juga saya menjadi co-pilot beliau apabila melibatkan program Amal ke kawasan-kawasan pendalaman Sabah. Sikap beliau yang suka mendengar pandangan sesiapa sahaja membuatkan saya begitu selesa bekerja bersama beliau walaupun adakalnya tak sependapat.

Masa tetap berlalu, kini sekali lagi saya kehilangan gandingan dalam rentak pemuda, kerana kelebihan yang ada padanya sememangnya banyak menutupi kelemahan yang ada pada saya dan teman-teman.

Semoga segala jasa dan pengorbanan beliau di bumi Sabah ini diterima Allah sebagai amalan soleh diakhirat kelak. Juga semoga perpisahan ini diukir di atas kalimah ukhwah 'Bertemu dan berpisah kerana Allah'.

Berikut adalah teman-teman Sepanggar yang telah terlebih dahulu pergi meninggalkan kami:
  1. Ust Zol Amri.
  2. Ust Abdullah Din
  3. Sdra Haizul
  4. Sdra Jefry
  5. Ust Mazli
  6. Sdra Nasirin
  7. Ust Hafizullah
Pohon kemaafan dari saya sekeluarga di atas terlanjur kata dan perbuatan. Semoga Ust. Hafizullah dan keluarga sentiasa diberkati dan dilindungi Allah.

Blog beliau boleh dilihat disini: http://ibnuhadiabu.blogspot.com/.

Wednesday, November 18, 2009

RM2.00 untuk Tok Guru ke Mekah

sumber: http://www.saynotomunafiqeen.blogspot.com/

Blog ini dengan penuh rendah diri mengisytiharkan sokongan penuh kepada cadangan blogger MSK supaya rakyat Malaysia yang cintakan Islam bangun dan membuat sumbangan sebanyak RM2.00 setiap orang bagi menghantar Tok Guru Hj Nik Aziz yang kita kasihi ke Mekah pada tahun hadapan.

Ini bukan bererti Tok Guru yang kita kasihi itu mengidamkan haji percuma tetapi lebih kepada tanda protest kita terhadap mala'un mala'un yang memfitnah Tok Guru sehinggakan Tok Guru membatalkan hasrat beliau untuk menunaikan haji pada tahun ini.


Ayuh !! Bangunlah wahai pencinta Islam yang jujur !! Bangunlah wahai pencinta ulama yang ikhlas !! Buktikan kepada "pejuang pura pura" bahawa kita berdiri teguh di sekeliling Tok Guru Hj Nik Aziz dalam melindungi beliau dari segala serangan puak puak kuffar dan munafiqeen !!


Biar seluruh rakyat Malaysia yang cintakan Islam menaja ibadah haji Tok Guru yang kita kasihi itu pada tahun hadapan.


Info berkaitan akaun penajaan haji Tok Guru oleh rakyat Malaysia : -

Maybank : 158 097 625 245
Pemegang Akaun : Mohmad Afandi bin Ahmad. (MSK)

Email :
matsamankati@gmail.com
Handphone : 013 593 57 21

JUMLAH SEMASA SUMBANGAN, LIHAT DISINI: http://perakexpress.com/www/

Tuesday, November 17, 2009

Wahabi: Istilah atau golongan?

salam perjuangan..

Membicara persoalan khilaf sebenarnya bukan matlamat saya di dalam ruang blog ini. Ini adalah kerana, bagi saya ianya bukan sahaja merugikan umat, malah memalukan Islam di mata masyarakat bukan Islam.

Namun begitu, mampukah kita hanya sekadar menjadi pemerhati tanpa berbicara. Juga tidak salah rasanya untuk berbicara di dalam skop ilmu dan hikmah. Pernah suatu masa dahulu saya bersolat dengan seorang sahabat. Ketika itu beliau menjadi imam dan saya bersama seorang lagi sahabat menjadi makmum. Ketika selesai solat berjemaah, beliau terus bangun meninggalkan makmum tanpa membaca doa bersama-sama. Secara ilmunya, saya bersetuju dengan tindakan tersebut, tetapi kalau dilihat dari sudut lain, ianya seolah-olah ada yang tidak kena. Sahabat saya disebelah tertanya-tanya, kenapa dia tak baca doa dulu. Maka saya terus membacakan doa sambil sahabat saya tadi meng'amin'kannya.

Wahabi bukan istilah tapi adalah golongan.

Ramai sebenarnya yang akan menentang/membantah kalau kita kata padanya Wahabi. Mungkin istilah tersebut agak keras untuk ditujukan kepada mereka. Secara pribadi saya melihat Wahabi bukan ditujukan kepada istilah, tetapi kepada segolongan yang mempunyai ciri dan sifat yang mungkin kita boleh mengenali mereka.

Mengenali Wahabi dari 5 perspektif (artikel penuh disini)

Pertama
Mereka yang melihat Wahhabi dari perspektif fiqh (e.g. qunut, air musta’mal, kaifiyyat tayammum, dll) sering menyatakan bahawa Wahhabi isu furu’ (cabang), tak perlu diperbesarkan, isu remeh temeh, dsb. Mereka terlupa bahawa Wahhabi juga banyak menolak hukum-hukum fiqh yang telah menjadi ijma’ (e.g. wajib qadha’ solat yang sengaja ditinggalkan, talak tiga dalam satu majlis jatuh tiga, hukum mengikut mazhab muktabar, dll), mereka juga terlupa bahawa Wahhabi banyak MENGHARAMKAN YANG HALAL di dalam ibadat, bahkan Wahhabi banyak mengkafirkan orang lain dalam isu furu’ dan sehingga mencaci hukum ahkam dan mazhab yang disusun oleh para ulama’ dan awliya, dll. Mereka yang melihat Wahhabi sebagai isu furu’ fiqh biasanya sering berkata: “Tak perlulah kita kecoh-kecoh, ini isu furu’ jer, tak usah gaduh….”. Sebenarnya orang seperti ini tidak mengenal Wahhabi sepenuhnya.

Kedua
Ada juga yang melihat Wahhabi dari perspektif sejarah semata-mata. Mereka mengakui bahawa Wahhabi ada kaitan dengan kerajaan British dalam menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Namun begitu, mereka berkata: “Ini isu lama. Tak guna bincang pada hari ini. Benda dah berlalu.” Orang seperti ini juga memandang isu Wahhabi dengan pandangan sebelah mata. Hakikatnya mereka tidak dapat mengenal perkembangan Wahhabi dan fahamannya. Mereka tidak sedar Wahhabi telah memusnahkan begitu banyak kesan sejarah Islam di semenanjung Arab.


Ketiga
Penulis mula mengenali Wahhabi dari perspektif Aqidah, berkaitan dengan sifat-sifat Allah dan ayat-ayat mutashabihat. Mereka yang melihat Wahhabi dari perspektif aqidah (e.g. sifat-sifat Allah, ayat-ayat mutashabihat, af’al al-ibad, kewajipan menghormati Rasulullah SAW, kaedah takfir, menolak ijma’, mempertikaikan karamah dan konsep barakah, dll) biasanya kurang bertolak ansur dengan isu Wahhabi. Bahkan, ramai para ulama’ yang menentang Wahhabi memberi penekanan kepada aspek ini. Ini sebenarnya adalah “titik-titik” pertelingkahan dan perbezaan yang besar di antara Wahhabi dan Ahli Sunnah wal Jama’ah. Namun begitu, ramai juga para ilmuan agama yang tidak dapat memahami “titik-titik” ini.


Keempat
Keseriusan isu Wahhabi ini juga dapat dilihat daripada perspektif Tasawwuf & Tarikat. Golongan Wahhabi sangat membenci golongan Sufi. Bahkan mereka begitu benci dengan istilah Tasawwuf. Golongan Wahhabi sering mengkafirkan, bahkan ada yang membunuh golongan ahli Sufi dan Tarikat yang muktabar. Banyak amalan-amalan Tasawwuf yang ditentang dan dikafirkan oleh golongan Wahhabi seperti zikir berjemaah, zikir ism al-dhat – Allah, Allah, penggunaan tasbih, tahlil, hadiah pahala dan banyak isu-isu lain. Golongan Wahhabi terlupa sebenarnya mereka memusuhi ramai para Wali Allah yang besar-besar apabila mereka memusuhi ulama’ Tasawwuf dan Tarikat. Mereka yang menilai Wahhabi daripada isu Tasawwuf dan Tarikat dapat memahami keseriusan isu Wahhabi ini.


Kelima
Ada juga yang mula mengenali isu Wahhabi daripada perspektif keselamatan negara. Pihak berkuasa kerajaan pada kebiasaannya mula mengenal fahaman Wahhabi hasil daripada kajian mereka ke atas golongan berfahaman ekstrim yang ditahan. Hampir kesemua yang ditahan mempunyai latar belakang Wahhabi yang kuat. Mereka menyanjung tokoh-tokoh Wahhabi dan membaca buku-buku mereka serta mudah mengkafirkan umat Islam yang lain dan menghalalkan darah mereka kerana berpegang dengan kaedah takfir fahaman Wahhabi. Isu ini pernah diperkatakan di parlimen Indonesia. Oleh sebab itu, ramai pegawai di bahagian keselamatan negara yang memahami keseriusan isu ini.


Islameturn: "la tu' sirul jiddal.." (pesanan naqib)

Monday, November 16, 2009

Pengumuman Program: Kursus Perubatan Islam

BERMINAT MENGIKUTI KURSUS PERUBATAN ISLAM BERSIRI

Professional IslamicSupport And Norture Group (PISANG) Sabah
dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia akan mengadakan
kursus perubatan Islam secara bersiri yang
akan dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Darus Syifa Kuala Lumpur.
Syarat-syarat pengambilan peserta ialah melalui proses perbincangan/temuduga.

Tarikh temuduga peserta ialah pada ketetapan berikut:
Tarikh:
21.11.2009
(Sabtu)
-
Tempat:
Pej. Yayasan Amal Malaysia Cwgn Sabah, Tmn. Pasir Putih
Putatan K.Kinabalu
-
Masa:
8.30 A.M - 12.30 P.M
2.00 P.M - 05.00 P.M
Syarat-syarat utama:
-
1. Boleh membaca Al-Quran
2. Mesti menamatkan semua modul (92 jam)
-
Sesiapa yang berminat, sila hadir dalam sesi perbincangan/temuduga.
Atau menghubungi penama berikut:

1.Ust Rozhan Yacub (016-8484512)
2.Ust Azman Jupri (016-8307944)
3.Mohd Wafi (0168184774)
4.En. Janis Abdullah (0138693148)

Mereka yang berjaya akan dihubungi melalui SMS, telefon atau surat

Sunday, November 15, 2009

Unit Amal Sepanggar membantu kelancaran Ihtifal PASTI.

sumber: http://amalsabah.blogspot.com/


14 Nov, Kota Kinabalu:
Seramai 15 orang anggota Unit Amal telah membantu program Ihtifal PASTI kawasan Pantai Barat. Program tahunan PASTI ini telah diadakan di Dewan Pusat Perdagangan Sabah, Kota Kinabalu dan disertai oleh hampir 20 buah buah Pasti.

Amal Ust Hafiz dan Amal Razimi membantu kelancaran majlis ihtifal.

Selain dari membantu kelancaran program, unit amal kawasan dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS kawasan Sepanggar juga menganjurkan kempen derma darah. Program ini telah mendapat kerjasama dari Unit Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Program berakhir pada pukul 12.30 petang.


Amal Saifuddin Samsuddin (Peng. Jab. Amal Negeri Sabah) menderma darah, kelihatan Amal Fakar Abdullah (Tim. 1) turut sama membantu kelancaran program.


Semoga amal yang dibuat mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. Tahniah kepada semua anggota unit amal yang terlibat di atas komitmen yang telah diberikan.

Islamreturn: Lagi tentang Ihtifal PASTI boleh lihat disini dan disini.

Saturday, November 14, 2009

Siapa calon pilihan untuk Pengerusi Pakatan Rakyat?

Petang semalam, ketika menonton berita NTV7 (edisi jam 7 ptg), saya sempat melihat kenyataan Zaid Ibrahim berkenaan cadangan beliau untuk melantik TG Dato Nik Abdul Aziz sebagai Pengerusi Pakatan Rakyat. Susulan dari itu, pihak berita NTV7 telah membuat undian sms bagi melihat pilihan orang ramai, siapakah calon pilihan utama pengerusi Pakatan Rakyat yang bakal dibentuk.

Empat senarai nama dikemukakan kepada orang ramai untuk memilih. Empat calon tersebut ialah TG Dato Nik Abdul Aziz, DS Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan TG DS Abdul Hadi Awang. Kebetulan pada waktu yang sama saya hendak bergegas ke masjid bagi menunaikan solat isya'. Saya berpesan kepada isteri, untuk melihat keputusan poll tersebut.

Seusai solat dan kembali ke rumah, seperti saya jangkakan, berikut adalah pilihan orang ramai, siapakah calon yang paling sesuai menerajui Pakatan Rakyat.


Keputusan menunjukan TG Dato Nik Abdul Aziz mendahului, dengan 52% memilih beliau sebagai pengerusi Pakatan Rakyat, manakala DS Anwar Ibrahim menjadi calon pilihan kedua dengan pilihan sebanyak 30%. Manakala TG DS Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang masing-masing berkongsi 9%.

Wednesday, November 11, 2009

UMNO dan persepsi

Benarlah, bahawa media mampu membina persepsi masyarakat. Ianya mampu merubah sesuatu yang buruk dilihat seperti baik, manakala sesuatu yang baik dilihat dalam bentuk yang buruk. Mungkin itulah dajjal yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w yang mana ianya boleh merubah tanggapan seseorang. Dahsyat! Itulah yang terlintas dihati saya. Membaca buah fikiran kedua ulama/cendiakawan muda (lihat disini dan disini) ini memberikan kita gambaran bagaimanakah cara untuk menguruskan persepsi agar tidak ditipu oleh rancangan halus dajjal yang bersembunyi di atas nama media.

Latihan Minda
Mari kita uruskan persepsi ini. Apakah persepsi anda terhadap UMNO?

"Tepuk dada tanyalah Iman"


Gambar 1

Gambar 2

Gambar 3

Gambar 4

Gambar 5

islamreturn: Apa jua persepsi kita, nilailah ianya dengan mata hati yang bersih. Uruskan lah persepsi dengan bijak agar yang buruk itu tetap kelihatan buruk dan yang baik itu tetap kelihatan baik.

Monday, November 9, 2009

Poligami: Membina Dunia Baru Islam (akhir)

Sekiranya diteliti perbincangan tentang dominasi, sebenarnya ianya ada hubungkait dengan pengaruh. Ini bermakna pihak mana yang mendominasi, beerti merekalah yang berpengaruh. Sebagai contoh, sekiranya golongan sekular mendominasi sesebuah negara, maka sekularlah yang berpengaruh dan jika liberal yang mendominasi, maka liberal lah yang berpengaruh dalam sesuatu perkara.

Setelah kita memahami teori dominasi, mari kita melihat kiraan matematik sebelum meneruskan bicara.

Kiraan pertama :
Kiraan ini berdasarkan 5 buah keluarga yang mengamalkan cara hidup Islam di sebuah kampong dalam perbincangan sebelum ini.

2 anak setiap keluarga:
5 buah keluarga menghasilkan 10 orang anak (berpasangan lelaki dan perempuan)

(selepas 30 tahun)
akan terbentuk 5 keluarga.
menghasikan 10 orang anak (berpasangan lelaki dan perempuan).

(selepas 30 tahun)
akan terbentuk 5 keluarga.
menghasikan 10 orang anak (berpasangan lelaki dan perempuan).

Ini bermaksud benarlah kajian dari majalah Solosi, sekiranya ingin mengekalkan tamadun cukup 2 orang anak sahaja. Selepas 120 tahun (5 generasi) itu juga lah populasi keluarga tersebut.

Sekarang mari kita gandakan (mempunyai 10 orang anak):

5 keluarga akan menghasilkan 25 keluarga.
25 keluarga akan menghasilkan 125 keluarga dan seterusnya.

Ini bermakna selepas 120 tahun (5 generasi) populasi yang akan terbentuk ialah 3, 125 keluarga yang terdiri daripada 31, 250 anak.

Kiraan kedua:
Kiraan ini berdasarkan 35 buah keluarga yang mengamalkan cara hidup barat di sebuah kampong dalam perbincangan sebelum ini.

6 anak setiap keluarga:

35 keluarga akan menghasilkan 105 keluarga.
105 keluarga akan menghasilkan 315 keluarga dan seterusnya.

Ini bermaksud selepas 120 tahun (5 generasi) populasi yang akan terbentuk ialah 2, 832 keluarga yang terdiri daripada 17, 010 anak.


Terdapat perkara penting yang perlu diteliti dan dimuhasabahkan dari perkiraan di atas. Iaitu selepas 120 tahun atau 5 generasi bilangan ahli keluarga yang terdiri daripada 5 keluarga tadi telah melebihi sebanyak 14, 240 orang. Ini bermakna pertambahan sebanyak 183% dalam masa 120 tahun berbanding 25 keluarga.

Ini merupakan penemuan yang agak mengejutkan saya. Dominasi 5 keluarga hanya memerlukan 120 tahun atau 5 generasi sahaja untuk menenggelamkan dominasi 35 buah keluarga. 5 keluarga tadi dan keturunannya hanya perlu memiliki sekurang-kurangnya 10 orang anak untuk setiap keluarga, manakala bagi 35 keluarga tadi kelahiran 6 orang anak merupakan purata asas bagi sesebuah keluarga, sudah cukup untuk merubah dominasi sebuah kampung. Andainya kampung tersebut mengamalkan pilihanraya untuk memilih ketua kampung, nescaya selepas 120 tahun ketua kampung yang dipilih ialah yang mengamalkan cara hidup Islam.

Pada penghujung pandangan saya ini, soalan yang ingin sekali saya lontarkan ialah, mampukah satu keluarga muslim sejati melahirkan 10 orang anak (mengikut keadaan semasa hari ini) ?

Maka bagi mencapai sasaran itu, saya berpandangan bahawa Poligami adalah antara jalan Membina Dunia Baru Islam !


Sekian, terima kasih.
-almansur-

Poligami: Membina Dunia Baru Islam (update)

Secara jujur, isu ini saya pernah terbaca di dalam salah sebuah majalah beberapa tahun dahulu. Namun, benarkah sistem poligami ini mampu merubah dunia sekarang kepada dunia baru Islam? Jawapan saya ya, sekiranya matlamatnya dan perlaksanaannya sempurna.

Kebetulan baru-baru ini juga saya terbaca satu kajian tentang ketamadunan di dalam majalah Solusi (tak ingat edisi berapa, tetapi berkaitan Kompas Hidayah) . Menurut kajian yang dilakukan, sebuah keluarga perlu melahirkan sekurang-kurangnya dua orang anak untuk memastikan tamadun mereka kekal. Kajian ke atas bangsa Eropah menunjukkan populasi bangsa Eropah tidak mencapai tahap yang dimaksudkan. Ini bermaksud mungkinkah bangsa Eropah suatu hari nanti akan terkebelakang dan diganti dengan bangsa baru yang menerajui benua Eropah. Siapakah bangsa tersebut? Saya tinggalkan isu tersebut untuk kajian para pembaca sekelian.

Sebelum saya meneruskan perbincangan, pernahkah kita mendengar teori dominasi? Menurut kamus dewan, dominasi bermaksud menguasai, menge­nakan atau menimpakan kekuasaan terhadap. Dominasi dari sudut penduduk, izinkan saya merujuk kepada bilangan umat. Sebagai contoh, negara China tidak perlu bergantung kepada ekonomi luar, kerana penduduknya yang ramai mampu untuk menjana ekonomi mereka. Sebuah syarikat automobil buatan China mampu untuk meraih jualan hingga berjuta-juta unit setahun hanya untuk jualan dalam negara sahaja. Ini beerti China telah mendominasi perusahaan automobil mereka, kerana rakyatnya hanya membeli kereta buatan tempatan.

Saya tinggalkan teori dominasi ekonomi negara China dan beralih kepada teori dominasi fikrah. Percayakah kita bahawa fikrah sesebuah masyarakat boleh berubah dengan teori dominasi. Contohnya dalam sebuah asrama terdapat 200 pelajar, 180 darinya adalah pelajar yang bermasalah (hisap rokok), manakala hanya 20 pelajar sahaja yang baik. Bolehkah kita menjamin 20 orang pelajar yang baik tadi tidak terpengaruh dengan 180 pelajar yang bermasalah. Pada perkiraan saya kalau tak semua terpengaruh, mungkin 5 atau 6 pelajar baik pasti akan terpengaruh dengan pelajar yang bermasalah. Kalau tak percaya, kita carilah asrama yang sedemikian dan hantarlah anak kita ke sana.

Sekarang, saya kembangkan teori dominasi ini pada sebuah kampung. Sebagai contoh mudah, dalam sebuah kampung ada 30 keluarga. 25 darinya mengamalkan gaya hidup barat, manakala 5 darinya gaya hidup Islam. Rasa-rasanya bagaimana keadaan 5 keluarga tadi? Kalau dilihat dari sudat dakwah, memanglah tugas 5 keluarga tadi berdakwah kepada 35 keluarga yang tersasar kehidupan mereka. Persoalan yang timbul, berapa tahunkah masa yang diperlukan untuk 35 keluarga tadi beralih arah kepada cara hidup Islam? Tidak ada siapa mampu untuk menjawab soalan tersebut. Namun teori dominasi mampu untuk mencari jawapan terhadap soalan di atas.

-bersambung-

Saturday, November 7, 2009

Poligami: Membina Dunia Baru Islam

Salam perjuangan,

Mungkin ini kali kedua saya menulis tentang soal poligami. Saya juga yakin mungkin ramai diluar sana yang agak sinis terhadap isu ini. Tulisan ini bukan berniat untuk mengubah pendirian anda terhadap poligami, tetapi cukup sekadar ianya sebagai medium percambahan idea.

Sedang ramai orang memperkatakan tentang ‘persepsi’ sehinggakan Prof Dr. Abu Hassan Abdullah juga menggelar orang yang membuang jauh persepsi dianggap ‘primitif’. Begitulah juga soal poligami, kerana ianya berlegar diruang persepsi yang dicipta secara sengaja atau tidak sengaja. Sebagai contoh, apakah persepsi masyarakat terhadap gelaran ibu tiri suatu masa dulu..? Atau apakah persepsi masyarakat terhadap bekas banduan..? Begitulah juga persepsi boleh terbentuk terhadap poligami di dalam masyarakat.

Semalam, setelah pulang dari mesyuarat PASTI kawasan, saya berkesempatan untuk menonton drama bertajuk ‘Payung Siti Fatimah’ slot Carekarama TV3. Menonton drama tersebut mengimbau kembali saya terhadap tulisan pertama saya dahulu (lihat disini). Saya akan ulas sedikit tentang drama tersebut di akhir tulisan ini nanti. Namun cukup untuk saya katakana bahawa drama tersebut mampu membina persepsi masyarakat.

Terdapat juga beberapa isu diluar sana yang melibatkan poligami, antaranya penubuhan kelab poligami ikhwan (bekas ahli Al-Alqam) oleh Khatijah Am dengan menawarkan kepada pelacur-pelacur suami mereka agar mereka dapat keluar dari dunia gelap. Manakala cadangan Senator Wan Ubaidah kepada YB Kelantan untuk mengambil ibu-ibu tunggal sebagai isteri kedua untuk menjaga kebajikan mereka.

Namun apa yang ingin saya lontarkan pada kali ini ialah hubungan sistem poligami dengan pembinaan sebuah dunia baru Islam. Sebelum saya meneruskan tulisan ini, saya berharap tulisan saya yang pertama menjadi pra-syarat terhadap apa yang ingin saya perkatakan pada kali ini.


-bersambung-

5 Resolusi Seminar PAS

sumber: http://cenangau.blogspot.com

Pas telah menggariskan 5 resolusi yang diterima sebulat suara.

Sumber image : UtaraOnline
1. PAS menetapkan sasaran untuk meningkatkan semula sokongan golongan muda terutamanya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

2. Selain itu PAS juga akan mengukuhkan Pakatan Rakyat dan meningkatkan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 secara lebih proaktif.

3. PAS juga berusaha untuk meningkatkan sokongan bukan Muslim dengan bertindak aktif menubuhkan Kelab Penyokong PAS di kawasan masing-masing.

4. Memantapkan pendirian parti berdasarkan maklumat, informasi serta menguatkan parti di peringkat akar umbi seluruh negara.

5. Membuat pelan tindakan antaranya menguatkan kempen nasional yang bertemakan 'PAS Untuk Semua'.


Islamreturn: Kekuatan PAS lahir dari keikhlasan ahli dan kepimpinan menerajui bahtera jemaah ini. Salah satu darinya pincang maka akan tempanglah langkah perjuangan. Andai kata ada kesilapan perbaikilah demi kemenangan Islam. Allahuakbar!

Wednesday, November 4, 2009

.........................................................................................................

Program Korban Sempena Aidiladha 1430H / 2009


Kos :

RM 350: 1 bahagian bagi Sabah ( Pitas, Kota Merudu, Kota Belud DLL )

RM 290: 1 bahagian bagi Mindanoa, Filipina.

Anjuran :
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah

Sila Hubungi :

1. 0198502525 ( Ust. Redwan )
2. 0195367902 ( Ust. Albelurani )
3. 0135305244 ( Ust. Saifuddin )

....................................................................................................

Filipina: Antara dua penderitaan (siri akhir)

Mengenali sesuatu bangsa memungkinkan kita mengenali sejarah perjuangan mereka. Mengenali sejarah perjuangan mereka memungkinkan kita mengenali semangat jihad mereka. Mindanou menyimpan seribu rahsia 'jihad' yang terpendam dan ingin dipadamkan.

Siapakah bangsa asal Mindanou?
Bagaimana Islam sampai di Mindanou?
Apa kaitan tausuq di dalam perjuangan umat Islam di sana?
Mengapa bangsa Moro bangkit mempertahankan tanah air?
Apakah kaitan Moroland dengan Libya dan Malaysia?
Benarkah Sepanyol dan Amerika Syarikat menjadi dalang merubah peta Moro?

dan banyak lagi, bacalah di entri dibawah untuk mengenali mereka..

http://sangtawal.blogspot.com/2009/03/hikayat-sangtawal-12-bangsa-moro.html

http://cintailmoe.wordpress.com/2008/04/07/sejarah-islam-di-filipina/

http://en.wikipedia.org/wiki/Moro_people

http://www.tausug-global.blogspot.com/

http://ms.wikipedia.org/wiki/Suku_Suluk

http://www.voa-islam.com/news/philipine/2009/07/16/326/apa-dan-siapa-bangsa-moro/

http://www.luwaran.com/


Beberapa hari lepas saya mendapat email dari seorang sahabat, menyatakan ayah beliau mengetahui sejarah bangsa Moro, kini ayah beliau sudah uzur. Mudah-mudahan diaturkan Allah pertemuan dengan ayah beliau suatu masa nanti InsyaAllah, serta saya berdoa agar berkesempatan menjejak kaki di Mindanou..

Monday, November 2, 2009

Filipina: Antara dua penderitaan (siri 2)

Penderitaan 1

26 September 2009 : Ketsana
4 Oktober 2009 :
Parma
31 Okt 2009 : Taufan Mirinae

Filipina telah dilanda 3 taufan yang mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa dan kemusnahan harta benda. Malah taufan ini telah melumpuhkan aktiviti masyarakat di Manila iaitu ibu negara Filipina. Pusat-pusat pemindahan dibina sebagai tempat perlindungan sementara rakyat, malah istana presiden juga terpaksa dibuka untuk rakyat berlindung.

Penderitaan rakyat Filipina ini turut dirasai oleh masyarakat antarabangsa. Limpahan bantuan dari seluruh pelusuk negara mula membanjiri bandar Manila. Media-media massa memaparkan kesengsaran dan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa taufan. (lihat gambar disini)

Mungkin ada yang terlupa bahawa semua taufan tersebut terjadi atas titah perintah yang Maha Agong. Sebagaimana titah perintah Presiden Filipina agar kepulauan Mindanou diserang, begitulah titah yang Maha Agong agar bandar Filipina diserang. Mungkin kah gelombang kemurkaan tuhan ini, adalah perantaraan doa-doa mujahidin dan insan yang tertindas?


Penderitaan 2

Mindanou sebuah negeri dibawah kesultanan Sulu akhirnya menjadi tanah jajahan akibat dari perjanjian Sepanyol dengan Manila. Menurut Abu Zubir, perjuangan mereka sebenarnya bertunjangkan akidah. Ini adalah kerana tanah air umat Islam telah dijarah oleh penjajah.

Komposisi masyarakat di Mindanou kini telah berubah dimana umat Islam terdiri daripada 12 ribu orang manakala masyarakat kristian pula seramai 18 ribu orang. Pertambahan masyarakat kristian ini adalah diantara agenda kerajaan Filipina yang telah memindahkan penduduk yang beragama kristian secara beramai-ramai ke Mindanou.

Menurut Abu Zubir lagi, kehadiran mereka (orang luar) ke Mindanou adalah bersama-sama dengan geran tanah yang diperolehi dari persekutuan, sedangkan mereka sendiri pun tidak tahu dimana lokasi tanah tersebut. Diskriminasi juga berlaku, dimana penduduk muslim hanya diberi 12-15 ekar tanah sahaja, manakala penduduk luar diberi 30 ekar tanah untuk peladangan dan sebagainya. Situasi ini menjadikan masyarakat muslim yang dahulunya majoriti di kepulauan ini, semakin hari semakin terhimpit.

Perjanjian demi perjanjian telah di nodai oleh kerajaan Filipina. Terbaru satu perjanjian damai yang memberi hak autonomi kepada MILF yang sepatutnya ditandatanangi sebelum Ramadhan tahun ini di Kuala Lumpur telah dinafikan oleh kerajaan Filipina. Akibatnya tercetus kembali peperangan antara tentera Filipina dan MILF yang mengakibatkan beratus buah rumah termasuk masjid dibakar dan dimusnahkan. Masyarakat muslim kembali menjadi pelarian dan tinggal di khemah-khemah perlindungan. Namun, berita tentang penderitaan masyarakat Mindanou langsung tidak dipaparkan dimedia antarabangsa. (lihat disini)

Sunday, November 1, 2009

Filipina: Antara dua penderitaan (siri 1)

Perjuangan bangsa Moro yang tinggal di selatan Filipina (Mindanou) telah bermula sejak zaman penjajahan Sepanyol lagi. Setelah kesultanan Sulu berakhir, Mindanou telah diberikan kepada pemerintahan Filipina. Maka bermulalah siri penindasan kerajaan Filipina kepada kaum minoriti muslim di Selatan.

Konflik di Mindanou menarik minat saya sejak belajar di universiti lagi. Perasaan ingin tahu dan mengenali bangsa Moro yang bernaung dibawah perjuangan Islam yang dikenali sebagai Moro Islamic Liberation Front (MILF) menjadikan saya begitu teruja untuk mendekati individu yang terlibat secara langsung di dalam perjuangan MILF. Mungkin itulah sebabnya saya di hadir Allah ke bumi Sabah yang bersempadanan dengan Selatan Filipina.

Sememangnya mengenali susuk perjuangan MILF dari kacamata pejuangnya sendiri, menjadikan diri ini mengenali apakah erti jihad. Masakan perjuangan yang menggalas senjata semudah perjuangan mengungkap kata, perjuangan mengalirkan darah semudah perjuangan mengalirkan peluh dan perjuangan mempertaruhkan nyawa semudah perjuangan mengerah tenaga.

Ibarat bumi Palestin, Mindanao turut merasai basahan darah para syuhada yang mempertahankan maruah Islam. Kehidupan yang hampir dipinggirkan dari dunia luar menjadikan bangsa Moro seolah-olah tiada pembelaan. Walaupun sebenarnya mereka ini adalah pemilik asal tanah kepulauan ini, namun kini mereka telah menjadi suatu bangsa yang minoriti dan terkebelakang dari segi arus kemodenan. Itulah hakikat pahit yang perlu dilalui oleh mereka.

- akan bersambung : Apa yang sebenarnya berlaku di Mindanao? -

UNGGUN BERSIH ITU TELAH DINYALAKAN OLEH AS-SYAHID BAHARUDDIN AHMAD

UNGGUN BERSIH ITU TELAH DINYALAKAN OLEH AS-SYAHID BAHARUDDIN AHMAD